Kerajaan beri keutamaan peruntukan pada Sabah - TPM

Ahmad Zahid (tengah) melambaikan tangan kepada orang ramai sewaktu tiba untuk merasmikan Sentuhan Kasih Desa KKDW dan Keusahawanan Desa Madani di Dataran Tamu, Sukau pada Khamis. Foto Bernama
Ahmad Zahid (tengah) melambaikan tangan kepada orang ramai sewaktu tiba untuk merasmikan Sentuhan Kasih Desa KKDW dan Keusahawanan Desa Madani di Dataran Tamu, Sukau pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KINABATANGAN - Kerajaan Pusat sentiasa memberi keutamaan peruntukan kepada Sabah, yang disalurkan bukan sahaja menerusi agensi-agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), tetapi juga menerusi Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB) serta Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pada tahun ini RM15.49 bilion atau 20 peratus daripada RM7.43 bilion peruntukan Pembangunan KKDW di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia ke-12 telah diperuntukkan kepada Sabah.

"Bagi daerah Kinabatangan, KKDW juga telah memperuntukkan RM77.35 juta bagi tujuan pembangunan termasuk untuk pelaksanaan pelbagai projek melibatkan kemudahan awam, infrastruktur perhubungan serta utiliti desa.

"Saya juga difahamkan ada keperluan banyak untuk 'tong biru' di Kinabatangan ini, nanti saya mahu senarai...saya tahu ini masalah air, KKDW juga telah melihat beberapa kawasan yang memerlukan telaga tiub, kerana kawasan itu punyai tekanan rendah. Kita rasa setelah lebih 60 tahun merdeka rakyat juga perlu bekalan air, elektrik serta jalan yang sempurna, KKDW komited untuk bantu rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Program Sentuhan Kasih Desa KKDW dan Keusahawanan Desa Madani di Dataran Tamu Sukau di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid (dua, kanan) menyerahkan watikah pelantikan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani kepada Bung Moktar yang mewakili 132 pengerusi dan setiausaha dari 66 kampung. Foto Bernama
Ahmad Zahid (dua, kanan) menyerahkan watikah pelantikan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani kepada Bung Moktar yang mewakili 132 pengerusi dan setiausaha dari 66 kampung. Foto Bernama

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata, beliau akan memohon tambahan bajet lebih besar khusus untuk Sabah tahun depan.

Selain itu menurutnya, KKDW juga melaksanakan program lonjakan mega luar bandar dengan peruntukan RM9 juta serta Program Bersepadu Pemajuan Kawasan bernilai RM47.6 juta yang memberi manfaat kepada penduduk.

Artikel Berkaitan:

"KKDW melalui Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat) juga telah menyediakan peruntukan berjumlah RM2.31 juta bagi pelaksanaan pelbagai program pembangunan komuniti dan latihan keusahawanan (RM1.17 juta); pendidikan kemahiran (RM1.14 juta) selain RM1.5 juta bagi naik taraf kemudahan premis bagi manfaat masyarakat luar bandar termasuk kawasan Kinabatangan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, RM18 juta juga diperuntukkan untuk pelaksanaan program pembangunan modal insan dan modal sosial di negeri Sabah seperti Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek).

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, RM155.24 juta telah diperuntukkan bagi Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) serta Latihan Kemahiran Pekebun Kecil untuk pembangunan dan pemerkasaan usahawan luar bandar di negeri Sabah.

Pada majlis itu beliau turut menyerahkan watikah pelantikan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani kepada Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mewakili 132 pengerusi dan setiausaha jawatankuasa itu dari 66 kampung di sini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!