Majikan bawa masuk saat akhir punca peningkatan warga asing di KLIA

Ruslin
Ruslin
A
A
A

SEPANG - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggesa majikan kepada pekerja asing yang tiba di Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, untuk hadir segera menyelesaikan urusan pemeriksaan bagi mengelak kesesakan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, berlaku kadar peningkatan kemasukan pekerja asing disebabkan tindakan majikan yang membawa masuk pada saat akhir menjelang 31 Mei ini.

Menurutnya, ini berikutan kerajaan telah menetapkan 31 Mei ini sebagai tarikh akhir kepada majikan untuk membawa masuk pekerja asing mereka.

"Setiap pekerja asing yang masuk ke Malaysia perlu melalui proses semakan dan pengesahan pemeriksaan kesihatan mereka di KLIA.

"Sebagai perbandingan, dalam keadaan biasa, ketibaan harian pekerja asing adalah di antara 500 hingga 1,000 orang dan mula meningkat sehingga 2,500 orang sehari pada 22 Mei lalu dan 4,000 hingga 4,500 sehari pada 27 Mei," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, JIM juga menjangkakan bilangan ketibaan akan terus meningkat sehingga 31 Mei.

Jelasnya, bagi mengurus situasi berkenaan, JIM dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah mengambil langkah segera untuk menguruskan kesesakan itu bagi memastikan keselesaan penumpang lain di KLIA terjamin.

"Antara tindakan yang telah dilaksanakan adalah menambah bilangan kaunter untuk mempercepatkan proses semakan dan pengesahan, menambah bilangan pegawai imigresen untuk menguruskan ketibaan pekerja asing yang ramai serta menguruskan kebajikan seperti menyediakan makan dan minum untuk pekerja asing yang berada di terminal," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ruslin, pihaknya akan terus memantau dan menambah baik situasi ini.

"Majikan diingatkan untuk memberikan kerjasama penuh dengan hadir segera bagi menyelesaikan proses pemeriksaan imigresen pekerja mereka bagi mengurangkan kesesakan di balai ketibaan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!