KPT perlu sentiasa dekati pihak industri - Menteri

Zambry ketika merasmikan bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini pada Khamis.
Zambry ketika merasmikan bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini pada Khamis.
A
A
A

NILAI - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu sentiasa mendekati dan mengadakan perbincangan dengan pihak industri bagi memastikan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mendapat tempat dalam pekerjaan.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, ia bagi mengenal pasti bidang-bidang yang diperlukan pihak industri.

"Jangan hanya kita mengambil pendekatan dengan menuduh mereka tidak mahu mengambil graduan TVET atau kita pula tidak menyediakan keperluan industri terlibat.

"Paling mustahak ialah pendekatan bersama, kita telah adakan pertemuan melalui kerjasama antara kementerian dalam hal berkaitan tenaga kerja termasuk Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bagi memastikan aspek keperluan tenaga kerja dalam bidang apa yang diperlukan,” katanya.

Zambry (dua kiri) ketika beramah mesra dengan pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM pada Khamis.
Zambry (dua kiri) ketika beramah mesra dengan pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dekat sini pada Khamis.

Pembinaan bangunan berkenaan yang dimulakan pada 30 Ogos 2021 itu siap dibina pada 21 Januari lepas melibatkan kos hampir RM50 juta menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) 2016.

Media sebelum ini melaporkan berdasarkan data dikeluarkan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), hanya 39. 6 peratus graduan TVET mendapat pekerjaan di syarikat swasta sekali gus menunjukkan majoriti majikan swasta tidak terbabit dalam pengambilan pekerja dari kalangan graduan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Zambry berkata, KPT juga sedia berbincang dan melaksanakan syarat kelayakan tambahan bagi membolehkan penempatan peluang pekerjaan bagi graduan TVET.

"Seringkali dibincangkan adalah isu di peringkat Ijazah, umpamanya bidang kejuruteraan. Industri memerlukan beberapa kelayakan, asasnya sudah ada. Jadi kita perlukan sedikit tambah nilai kepada program dan perkara ini akan disediakan dan perbincangan perlu diadakan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Zambry berkata, KPT berada pada kedudukan lima terbaik antara kementerian berdasarkan laporan keseluruhan penggunaan perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan kerajaan.

"Dari segi projek lewat kita tidak begitu banyak namun pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan projek pembangunan dapat disegerakan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!