Cadangan kajian semula agihan cukai dibawa ke Mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Chow Kon Yeow akan membawa cadangan berhubung kajian semula sistem agihan cukai oleh kerajaan Pusat kepada negeri ke Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri pada Julai nanti.

Menurutnya, beliau akan membawa cadangan itu ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang dahulu sebelum dibawa ke peringkat Pusat.

"Saya akan bawa cadangan ini ke MMK Pulau Pinang untuk perbincangan seterusnya akan bawa ke Mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri di Putrajaya pada Julai nanti.

"Kita mahu lihat satu perubahan dari segi perkongsian hasil dengan kerajaan Persekutuan," katanya pada Khamis.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) berhubung usaha kerajaan negeri untuk menuntut semula cukai yang dikutip selepas sumbangan negeri dalam pelaburan langsung asing (FDI) pembuatan negara sebanyak RM71.9 pada 2023.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, terdapat dua cara yang boleh dilaksanakan sekiranya sistem agihan cukai itu mahu diubah iaitu ia dilakukan menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan dan juga perubahaan polisi kerajaan Pusat.

"Untuk membolehkan negeri-negeri berkongsi hasil dengan Pusat maka Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda dan juga lakukan perubahan polisi berkaitan sistem agihan cukai ini di pihak kerajaan Pusat.

''Namun perkara ini perlulah mendapat persetujuan semua negeri sebelum dapat dilakukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun kata beliau, Pulau Pinang memahami keadaan kerajaan Pusat juga perlu menanggung hutang yang amat tinggi ketika ini.

"Kadang-kadang kita pun kesian dengan Pusat, kita buat banyak usaha untuk menarik FDI tetapi kita sepatutnya tahu syarikat multinasional yang dapat kita tarik diberi pelbagai insentif pengecualian, bayar cukai dan berapakah sebenarnya kerajaan Persekutuan terima daripada bertrilion daripada pelaburan ini melainkan mewujudkan peluang pekerjaan (itu pun kita guna alasan yang sama).

"Tetapi, kerajaan Pusat juga ada kekangan kewangan, saya tak tahu cadangan ini akan dipandang serius atau tidak, atau saya akan di 'black kist' sebab Pusat pun menghadapi kekangan.

"Saya hadir Mesyuarat Kewangan Negara pun, hutang begitu besar sehingga bertrilion, hampir mencecah 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) kita. Itu adalah keadaan negara kini dan itu lah hakikat yang perlu kita terima," tambah Kon Yeow.

Pada Rabu, kerajaan negeri memohon kerajaan Pusat mengkaji semula sistem agihan cukai kepada negeri dengan memulangkan sekurang-kurangnya 20 peratus hasil cukai yang dikutip daripada Pulau Pinang kepada negeri itu semula.

Kon Yeow berkata, sekiranya kerajaan Pusat memulangkan semula hasil cukai dengan kadar yang dipohon itu, setiap tahun Pulau Pinang akan memperoleh sekurang-kurangnya RM1 billion hasil cukai dan ia boleh membantu merancakkan pembangunan negeri itu.

Menurutnya, mengikut maklumat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sekurangnya-kurangnya RM7 billion hingga RM8 bilion cukai dikutip dari Pulau Pinang setiap tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!