Isu tidak cacatkan imej Pulau Pinang - Kon Yeow

Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo merasmikan Hotel Penang Marriot di Persiaran Gurney pada Rabu.
Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo merasmikan Hotel Penang Marriot di Persiaran Gurney pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Masalah yang timbul melibatkan peralatan di tapak permainan di Fasa 1 Taman Gurney Bay di Persiaran Gurney hanya melibatkan kerosakan kecil dan tidak serius.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, masalah itu telah diuruskan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H'ng Mooi Lye dan sudah selesai.

"Ia kerosakan kecil saja.

"Exco (Mooi Lye) telah menguruskan dengan pihak kontraktor malah sudah selesai memasang semula bahagian yang longgar.

"Mengenai isu kontraktor yang dibangkitkan, mana-mana kontrak tertakluk kepada perjanjian dan projek ini pun belum siap sepenuhnya.

"Kontraktor juga diarahkan untuk membaiki apa-apa kerosakan yang dikenal pasti.

"Isu ini tidak mencacatkan imej Pulau Pinang," katanya selepas merasmikan pembukaan Hotel Penang Marriot di sini pada Rabu.

Gurney Bay yang menelan kos keseluruhan RM247 juta telah dibuka untuk Fasa 1 pada Ahad lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, sejak dua hari lalu, taman tersebut mendapat perhatian ramai apabila berlaku kerosakan pada tali alat permainan selain struktur konkrit juga dilaporkan telah retak selepas sehari ia dibuka kepada awam.

Perkara itu disuarakan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng di beberapa platfotm media sosialnya termasuk Facebook.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, sebanyak 95 peratus komen di media sosial adalah positif terhadap pembukaan Fasa 1 Taman Gurney Bay kepada orang awam.

Kon Yeow berkata, perkembangan itu menunjukkan orang ramai sangat mengalu-alukan pembukaan taman tersebut.

"Saya rasa 95 peratus komen dalam media sosial amat positif dan mengalu-alukan pembukaan Fasa 1 Taman Gurney Bay ini.

"Empat peratus lagi juga amat mengalu-alukan sementara satu peratus, hampir-hampir nak mengalu-alukan," katanya.