Atlet luar biasa, pencapaian pasti fantastik

Laporan Sukan Sinar sebelum ini. Gambar kecil: Pekan
Laporan Sukan Sinar sebelum ini. Gambar kecil: Pekan
A
A
A

“MENANG pingat emas, bukan perak, bukan gangsa, memang inilah sasaran kita di Sukan Olimpik Paris 2024. Tiada siapa pun patut memperendahkan moral atlet kita waktu ini.”

Itu reaksi penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli mengulas keputusan berani beberapa atlet yang mengesahkan slot ke Paris 2024 mengumumkan misi meraih emas masing-masing.

“Baik Lee Zi Jia, Datuk Azizulhasni atau Aaron Chia dan Soh Wooi Yik atau atlet bukan sandaran lain, merekalah harapan kita untuk melakar sejarah sulung yang belum kita capai sejak penyertaan pertama kita di Sukan Olimpik Melbourne 1956.

“Namun apa pun warna pingat bakal diperolehi nanti, kita jangan kecewa, kita tetap hargai pencapaian mereka kerana ini Sukan Olimpik bukan Sukan SEA.

“Saya juga sama seperti Presiden MOM (Majlis Olimpik Malaysia), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan seluruh rakyat Malaysia tetap berdiri di belakang atlet-atlet kita apabila tiba saat perjuangan sebenar mereka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Bagaimanapun Pekan menegaskan ketika ini elemen yang perlu diberikan perhatian serius adalah aspek pengukuhan psikologi dan kecergasan atlet sebelum temasya sukan terbesar dunia tersebut menyingkap tirai.

“Apa pun, sekadar ingatan, saya tidak nafikan ini fasa paling kritikal yang perlu dipersiapkan untuk atlet negara yang layak ke Paris 2024.

“Pengukuhan aspek psikologi sukan dan kecergasan paling optimum sambil berhati-hati risiko kecederaan serta penjagaan kesihatan perlu sentiasa diambil berat.

Artikel Berkaitan:

“Persiapan kontinjen negara pada tahap ini sepatutnya menyeluruh kepada semua atlet tanpa mengira atlet Road To Gold (RTG) atau tidak,” katanya.

Tegas Pekan lagi, atlet-atlet yang menyambar tiket ke Paris 2024 berdasarkan kelayakan merit atau ranking secara psikologi melalui fasa tekanan baik fizikal serta mental.

“Kita kena ingat, ada pelbagai corak kehidupan dan perjalanan hidup, kisah suka duka dilalui atlet seluruh dunia.

“Ada antara mereka menjadi juara dunia atau memenangi pingat emas di Sukan Olimpik sewaktu mereka berada dalam keadaan serba kekurangan.

“Kedaifan dan serba kekurangan inilah sebenarnya yang bertukar menjadi 'tonik' hebat dan kekuatan psikologi atau aura positif secara semula jadi hingga dapat menobatkan atlet tersebut sebagai wira sejati,” tegas Pekan.

Tambah Pekan lagi: “Atlet begini ternyata mempunyai drive dan kekuatan dalaman yang sangat kuat hingga tiada sebarang alasan mereka kemukakan jika gagal sekalipun.

“Ingatlah, hanya atlet luar biasa akan mendapat pencapaian luar biasa. Atlet biasa-biasa sudah pasti pencapaiannya pun biasa-biasa. Apatah lagi kalau atlet itu sering kali beri pelbagai alasan dan menyalahkan orang lain apabila gagal.

“Justeru berbalik kepada atlet negara kita, ingatlah, walau apa pun bantuan diberikan kerajaan dengan pelbagai perkhidmatan sokongan berkaitan termasuk psikologi sukan, sebenarnya hanya atlet itu sendiri yang ada jawapan sejauh mana mereka percaya kepada kebolehan diri masing-masing.”


INFO

Sukan Olimpik Paris 2024

(26 Julai hingga 11 Ogos)

Atlet Malaysia

Badminton

1. Lee Zii Jia (perseorangan lelaki)

2. Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki)

3. Goh Jin Wei (perseorangan wanita)

4. Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita)

5. Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran)

Berbasikal (Trek)

1. Datuk Azizulhasni Awang

2. Muhammad Shah Firdaus Sahrom

3. Nurul Izzah Izzati Mohd Asri

Berbasikal (Lebuhraya)

1. Nur Aisyah Mohd Zubir

Menembak

1. Jonathan Wong

Pelayaran

1. Khairulnizam Mohd Afendy

2. Nur Shazrin Mohd Latif

Angkat Berat

1. Mohamad Aniq Kasdan

Terjun

1. Bertrand Rhodict Lises

Memanah

1. Ariana Nur Dania Mohamad Zairi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!