Kecederaan triseps ragut impian Nur Dhabitah bersama Pandelela ke Olimpik Paris

Nur Dhabitah. Gambar Bernama
Nur Dhabitah. Gambar Bernama
A
A
A

KECEDERAAN triseps dialami penerjun elit negara, Nur Dhabitah Sabri, memusnahkan impiannya untuk menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 bersama Datuk Pandelela Rinong.

Pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar semalam, Nur Dhabitah Sabri dan Pandelela sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-12 daripada 16 pesaing, dengan mengutip 240.06 mata keseluruhan menerusi acara 10 meter (m) platform seirama.

Pengarah Teknikal Persekutuan Renang Malaysia, Bryan Nickson Lomas berkata, persiapan skuad terjun negara berjalan lancar, yang menyaksikan mereka ‘berkampung’ selama dua bulan di China, namun beberapa perkara di luar kawalan terjadi sebaik tiba di Qatar.

"Kita harapkan untuk buat lebih baik, tetapi ada sikit kekangan sebab Dhabitah ada kecederaan triseps dan pemulihan beliau sebenarnya on track dan kita akui atlet memang ada rasa sedikit tekanan, walaupun persiapan sebelum itu semua lancar,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bryan berkata, Dhabitah masih mempunyai dua lagi acara dalam usaha memburu tiket ke temasya Olimpik, iaitu 3m papan anjal dan 3m papan anjal seirama bersama Wendy Ng.

Namun, Pandelela yang mempunyai impian besar untuk melakukan penampilan kali kelima berturut-turut di temasya empat tahun sekali itu terkubur, selepas gagal di acara 10m platform seirama dan 10m platform individu.

Pada Ahad lalu, Pandelela hanya menduduki tempat ke-29 dengan 231.15 mata, ketinggalan 204.05 mata di belakang juara dunia Chen Yuxi (435.20 mata), pada pusingan kelayakan acara 10m platform individu di Doha.

Setakat ini, penerjun muda Bertrand Rhodict Lises muncul penerjun tunggal yang layak secara merit ke Sukan Olimpik 2024.

Artikel Berkaitan:

Atlet yang berasal dari Sarawak itu membuat penampilan sulung di Olimpik selepas mara ke final acara 10m platform individu lelaki dan menjadi antara 12 penerjun terbaik pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun. - Bernama