Serangan Israel di Rafah: Rakyat Palestin tidak ulangi Nakba 1948

Jiwa rakyat Palestin hari ini dilihat masih kekal dengan semangat cintakan tanah air sungguhpun diserang oleh tentera Israel sejak Oktober lepas. Foto Xinhua
Jiwa rakyat Palestin hari ini dilihat masih kekal dengan semangat cintakan tanah air sungguhpun diserang oleh tentera Israel sejak Oktober lepas. Foto Xinhua
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelajari daripada peristiwa Nakba 1948, jiwa rakyat Palestin hari ini dilihat masih kekal dengan semangat cintakan tanah air sungguhpun diserang oleh tentera Israel sejak Oktober lepas.

Pensyarah Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Abdel Rahman Ibrahim berkata, sungguhpun serangan bertubi-tubi tentera rejim yang kini menyasarkan pula kem di Rafah menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal, rakyat Palestin tetap tidak berganjak daripada negara mereka.

"Untuk jawapan kepada pertanyaan ke manakah rakyat Palestin selepas Rafah, saya hendak perbetulkan persepsi ini di mana rakyat Palestin bukanlah akan ke Mesir mahupun ke negara lain.

"Mereka kebanyakannya kembali semula ke Utara Gaza dan ke serata Gaza iaitu tempat asal, melihat runtuhan rumah-rumah mereka. Mereka sedang mengalami Nakba, telah belajar daripada peristiwa Nakba 1948 dan tekad tidak mahu mengulang semula tragedi tersebut dan tidak keluar daripada negara mereka,” katanya.

Abdel Rahman berkata demikian menerusi program bual bicara Radio Bernama untuk segmen Reaksi bertajuk "Selepas Rafah ke Mana?”, pada Rabu.

Rakyat Palestin menggunakan istilah "Nakba" atau Malapetaka untuk mengingati pengusiran ratusan ribu rakyat Palestin dari rumah dan tanah mereka pada tahun 1948 selepas penubuhan Israel.

Menyentuh soal perlindungan, Abdel Rahman menambah, hak asasi manusia yang selayaknya diterima rakyat negara itu masih tidak terbela dan memerlukan perhatian segera masyarakat antarabangsa.

"Apapun, saya terharu dengan protes dan bantahan para pelajar universiti-universiti terkemuka dunia yang majoriti mereka adalah generasi Z kerana berani menyuarakan suara rakyat Palestin,” kata penganalisis itu.

Artikel Berkaitan:

Terkini, Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Selasa berkata sejak tiga minggu lepas, hampir 1 juta rakyat Palestin telah melarikan diri dari Rafah di tengah-tengah serangan berterusan Israel ke bandar itu,

Dalam satu kenyataan di platform X, UNRWA berkata penduduk beramai-ramai meninggalkan Rafah walaupun "tiada tempat yang selamat untuk pergi dan di tengah-tengah pengeboman, kekurangan makanan dan air".

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres yang mengutuk serangan udara maut Israel berhampiran Rafah di laman social media X juga berkata, "Tiada tempat selamat di Gaza. Kengerian ini harus dihentikan.” - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!