Setiausaha Agung PBB sedih dengan serangan udara Israel di Rafah

Rakyat Palestin melihat keadaan khemah mereka yang musnah dibom Israel di selatan Semenanjung Gaza. Foto Xinhua
Rakyat Palestin melihat keadaan khemah mereka yang musnah dibom Israel di selatan Semenanjung Gaza. Foto Xinhua
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel pada 26 Mei yang menyasarkan kem di Rafah menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stéphane Dujarric dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa berkata Guterres berasa sedih menyaksikan imej mangsa yang terbunuh dan cedera termasuk ramai kanak-kanak kecil.

"Seperti yang telah beliau katakan sebelum ini, kengerian dan penderitaan mesti dihentikan serta-merta," kata Dujarric dalam kenyataan itu.

Guterres sebelum ini menggunakan media sosial untuk mengutuk tindakan Israel dalam hantaran di X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Dujarric menyatakan bahawa malapetaka kemanusiaan di Gaza kini diburukkan lagi oleh prospek kebuluran buatan manusia yang tidak dapat dielakkan.

Ketua PBB itu mengulangi permintaannya untuk gencatan senjata segera serta pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan.

"Beliau mengingatkan perintah terkini dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang mengikat dan mesti dipatuhi," kata Dujarric.

Mahkamah tertinggi PBB, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 24 Mei mengeluarkan langkah sementara baharu yang mengarahkan Israel untuk segera menghentikan operasi ketenteraan di Rafah, yang terletak di selatan Gaza.

Artikel Berkaitan:

Guterres juga menekankan bahawa pihak berkuasa Israel mesti membenarkan, memudahkan dan membolehkan penghantaran bekalan kemanusiaan segera, selamat dan tanpa halangan kepada mereka yang memerlukan, dengan semua pintu masuk kekal terbuka selaras resolusi Majlis Keselamatan 2720 (2023), kata jurucakap itu.

"Kita mesti bekerja dengan pantas untuk memulihkan keselamatan, maruah dan harapan untuk penduduk yang terjejas," menurut kenyataan itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!