MITI bakal umum aspek penting keselamatan siber, sokongan AI

Tengku Zafrul mengemukakan butiran lanjut mengenai Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) pada sidang media di Menara PERKESO pada Rabu. Foto Bernama
Tengku Zafrul mengemukakan butiran lanjut mengenai Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) pada sidang media di Menara PERKESO pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dijangka membuat satu atau dua pengumuman penting beberapa hari lagi sebagai susulan terhadap Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 yang diluluskan pada April lepas.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kelulusan itu penting bagi industri kerana ia melindungi serta meningkatkan keselamatan siber negara menerusi aspek seperti pematuhan, piawaian dan proses tertentu dalam menguruskan ancaman keselamatan siber.

"Saya akui kita baru memulakan usaha pembangunan infrastruktur (kecerdasan buatan - AI) dan memerlukan masa untuk bersaing dengan Singapura.

"Namun, usaha ini telah memberi hasil yang positif, misalnya membabitkan keputusan Microsoft yang mana perkara ini merupakan salah satu kebimbangan sebelum Microsoft mengumumkan pelaburan (berjumlah AS$2.2 bilion dalam transformasi AI dan awan),” katanya pada sesi taklimat media mengenai Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) di sini pada Rabu.

Tengku Zafrul berkata demikian sebagai mengulas laporan East Asia Forum bahawa sebahagian besar (kira-kira 75 peratus) pelaburan modal teroka AI bertumpu di Singapura (AS$8.4 bilion) yang mengatasi ekonomi besar ASEAN lain seperti Indonesia (AS$1.9 bilion), Malaysia (AS$371 juta), Thailand (AS$255 juta), Filipina (AS$126 juta) dan Vietnam (AS$95 juta).

Asia Tenggara juga diunjur meraih manfaat ekonomi besar susulan penggunaan AI yang dianggarkan memacu jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau ini mencecah AS$950 bilion atau 13 peratus menjelang 2030.

Bagi trajektori inovasi AI dan perkembangan berkaitan kawal selia, laporan itu berkata rangka kerja pengawalseliaan yang lebih komprehensif diperlukan bagi melengkapkan Panduan ASEAN mengenai Tadbir Urus dan Etika AI yang baru diperkenalkan.

Pada awal bulan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia harus bergerak pantas membina ekosistem mantap untuk memacu perkembangan dan penggunaan teknologi AI dalam era pasca normal pada masa ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: