Suruhanjaya Sekuriti lancar Bursa Sosial akhir tahun ini - Pengerusi

Awang Adek Foto Bernama
Awang Adek Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dijangka melancarkan Bursa Sosial, yang pertama seumpamanya di ASEAN, menjelang akhir tahun ini, dengan pendaftaran untuk bursa itu dijadualkan pada suku pertama 2025, kata pengerusinya Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.

Bursa Sosial adalah platform pengumpulan dana khusus untuk projek dengan hasil sosial yang positif, menerusi penggemblengan modal swasta dan dermawan dalam menangani keperluan golongan yang kurang bernasib baik.

Awang Adek berkata, SC akan menubuhkan jawatankuasa penasihat untuk mempercepatkan pelaksanaan bursa sosial itu dengan tadbir urus dan jaminan yang wajar dalam rangka kerja tersebut.

"Ini (rangka kerja itu) adalah untuk menggalakkan pengumpulan dana dan yang lebih penting bagi memastikan dana yang dikumpul dalam bursa itu akan digunakan dengan betul untuk tujuan yang dimaksudkan,” katanya pada sidang media di luar Forum Global Ekonomi Islam dan Kewangan (GFIEF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu.

Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dua inisiatif berkaitan pasaran modal di GFIEF - penubuhan Bursa Sosial pertama Malaysia dan pengenalan pengumpulan dana untuk pembangunan wakaf melalui platform pembiayaan setara (P2P) dan pendanaan awam ekuiti (ECF).

Menurut Awang Adek, jawatankuasa penasihat bagi penubuhan Bursa Sosial itu akan dipengerusikan oleh SC, dengan penyertaan wakil daripada Kementerian Kewangan dan Bursa Malaysia Bhd serta pihak lain yang berkaitan.

"Salah satu negara yang benar-benar melakukan ini (Bursa Sosial) adalah India, dan ia dilaksanakan di bursa saham mereka, jadi kita perlu mengkaji sama ada ia boleh dikendalikan oleh Bursa Malaysia di sini, tetapi itu akan ditentukan nanti, bagaimana kita mahu melaksanakannya.

"Salah satu objektif jawatankuasa penasihat ialah apabila orang tahu bahawa kita sudah mempunyai rangka kerja yang boleh dipercayai, maka lebih ramai orang akan datang untuk menyumbang," katanya sambil menambah SC juga telah mengkaji mekanisme pelaksanaan Bursa Sosial di India.

Artikel Berkaitan:

Menjelas lebih lanjut, beliau berkata antara bidang tumpuan utama projek yang layak di bawah Bursa Sosial akan merangkumi pelbagai tema yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuk kebajikan sosial, pendidikan berkualiti, pembinaan kapasiti dan kesihatan yang baik.

Selain itu ia juga akan merangkumi projek berkaitan wakaf dan projek kelestarian serta pemuliharaan alam sekitar.

Awang Adek turut menekankan bahawa bursa itu akan memberi manfaat, antara lain, kepada entiti seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perusahaan sosial atau majlis agama Islam untuk membiayai projek mereka yang mempunyai hasil sosial positif.

Sementara itu, semasa ucapannya di GFIEF, Awang Adek turut mengumumkan bahawa SC sedang melaksanakan langkah konkrit untuk menyokong agenda kemampanan nasional dan mengukuhkan Malaysia sebagai hab Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) serantau.

"Penapisan Syariah SRI untuk syarikat senaraian awam (PLC) akan diperkenalkan hujung tahun ini.

"Usaha ini diharap akan dapat mengukuhkan ekosistem kawal selia bagi kemampanan, memudahkan peralihan yang adil, dan meningkatkan lagi penjajaran antara Syariah dan kemampanan," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!