SC akan keluarkan rangka kerja pelaksanaan Bursa Sosial

Awang Adek
Awang Adek
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan mengeluarkan rangka kerja terperinci pelaksanaan Bursa Sosial (SE) dalam masa terdekat susulan pengumuman penubuhan bursa itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, rangka kerja tersebut terutamanya akan mengambil kira keperluan tadbir urus dan jaminan untuk memastikan dana yang diperoleh dalam SE digunakan dengan sewajarnya seperti yang diharapkan.

“Cadangan penubuhan SE pertama negara ini mencerminkan komitmen kerajaan ke arah pendekatan pembangunan holistik dalam pembinaan negara, selaras dengan rangka kerja Ekonomi Madani bagi membantu segmen masyarakat yang memerlukan.

“Dengan platform pengumpulan dana khusus untuk projek dengan hasil sosial yang positif, SE akan memudahkan lagi penggemblengan modal swasta dan dermawan dalam menangani keperluan golongan yang kurang bernasib baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Anwar terdahulu dilaporkan mengumumkan dua inisiatif berkaitan pasaran modal sempena Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) di ibu negara iaitu membabitkan penubuhan SE pertama Malaysia yang menjadi pendekatan berstruktur untuk penyertaan modal swasta dalam projek dengan hasil sosial yang positif.

Inisiatif kedua ialah memperkenalkan pengumpulan dana untuk pembangunan wakaf melalui pembiayaan antara rakan setara (P2P) dan platform ekuiti pendanaan ramai (ECF) dengan kerajaan menyediakan pembiayaan padanan melalui Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) pada kadar pembiayaan sifar peratus.

Mengulas lanjut, Awang Adek berkata, SC mengalu-alukan dua inisiatif berkaitan pasaran modal yang diumumkan oleh Perdana Menteri berkenaan.

Menurutnya, untuk menyokong pengumpulan dana pembangunan wakaf melalui platform pembiayaan ECF dan P2P, insentif baharu di bawah MyCIF bakal diperkenalkan untuk memanfaatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, insentif baharu itu akan dilakukan dengan menjalankan projek berkaitan wakaf terutamanya menerusi pembangunan tanah wakaf dalam pertanian huluan dan bio-ekonomi.

“Ini akan menggalakkan lebih banyak PMKS bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri dalam perniagaan yang menyasarkan hasil sosial yang positif, pada masa yang sama menyumbang kepada agenda keselamatan makanan negara,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!