MBDK laksana langkah jangka pendek atasi banjir di Bandar Bukit Raja

Mohd Zary (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat bersama agensi penguatkuasa lain serta pemaju di MBDK pada Rabu.
Mohd Zary (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat bersama agensi penguatkuasa lain serta pemaju di MBDK pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Usaha mengurangkan kejadian banjir di Bandar Bukit Raja menunjukkan tanda positif susulan beberapa langkah jangka pendek diambil Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersama agensi penguat kuasa lain dan pemaju.

Timbalan Datuk Bandar MBDK, Mohd Zary Affendi Mohd Arif berkata, tindakan pencegahan jangka pendek itu berasaskan keputusan mesyuarat kali pertama berhubung isu banjir di Bandar Bukit Raja diadakan pada 15 Mei.

Menurutnya, tindakan pencegahan membabitkan pemasangan pam sementara di Jalan Semazau bagi mengelak air bertakung oleh syarikat pemaju dan juga penyediaan beberapa kolam tadahan serta penyelenggaraan kawasan di Bandar Bukit Raja.

"Pam sementara itu ditempatkan di Jalan Semazau sejak dua minggu lalu bagi memastikan air tidak memenuhi jalan (jika hujan) dan mengelak pengguna lalu lintas terputus hubungan ke kawasan berkenaan.

"Saya difahamkan kenderaan boleh melalui jalan terbabit berbanding sebelum ini kenderaan tidak dapat melalui kawasan itu (ketika hujan) dan pam itu dapat mengalihkan air yang bertakung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat kali kedua berhubung isu banjir di Bandar Bukit Raja bersama agensi penguat kuasa lain serta pemaju di MBDK pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Zary berkata, daerah Klang terlibat dalam perlaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir di sekitar daerah berkenaan.

"Projek Rancangan Tebatan Banjir ini adalah projek kerajaan Persekutuan dan ia sudah pun bermula dan kini sedang berjalan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menafikan langkah jangka pendek diambil susulan penduduk Bandar Bukit Raja menyerahkan memorandum gesaan bagi menyelesaikan isu banjir ke pejabat Menteri Besar pada 24 Mei sebaliknya ia telah diputuskan lebih awal.

"Kita mengadakan mesyuarat kali pertama pada 15 Mei iaitu sebelum penyerahan memorandum dan langkah jangka pendek itu diputuskan pada mesyuarat tersebut dan dilaksanakan dua minggu lalu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!