DUN Selangor lulus RUU Enakmen Majlis Bandaraya Diraja Klang 2024

Persidangan DUN Selangor pada Rabu meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) 2024 bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menukar gelaran PBT berkenaan. Gambar fail Bernama
Persidangan DUN Selangor pada Rabu meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) 2024 bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menukar gelaran PBT berkenaan. Gambar fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) 2024 bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menukar gelaran PBT berkenaan.

RUU itu diluluskan Speaker DUN, Lau Weng San selepas dibacakan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim sebanyak tiga kali.

Terdahulu, Suee Lim ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata di samping menukar gelaran PBT, pembentangan dilaksanakan bagi perkara lain yang berbangkit daripada pengurniaan taraf perbandaran kepada bandar raya berkuat kuasa 23 November tahun lepas.

"Rang undang-undang ini bertujuan menukar gelaran perbandaran kepada bandar raya mengikut peruntukan-peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

"Bagi menaikkan taraf Majlis Perbandaran Klang kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang, tiada keperluan untuk meminda perundangan yang sedang digunakan. Bagaimanapun, pihak berkuasa negeri perlu mengadakan rang undang-undang bagi membuat peruntukan untuk menukar gelaran perbandaran kepada bandar raya,” katanya pada persidangan DUN Selangor di sini pada Rabu.

Suee Lim berkata, rang undang-undang itu dibuat dengan tujuan mengekalkan kuasa, kewajipan dan keistimewaan pemegang jawatan sewaktu taraf perbandaran dinaikkan kepada bandar raya.

Pada 5 Februari lepas, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan istiadat pengisytiharan Klang berstatus perbandaran kepada bandar raya.

Baginda berkenan melafazkan pengisytiharan dan mengumumkan pelantikan Datin Paduka Noraini Roslan sebagai Datuk Bandar PBT itu berkuat kuasa 23 November 2023.

Artikel Berkaitan:

Persidangan DUN bersambung pagi esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!