MBDK tidak mampu naik taraf semua infrastruktur sekelip mata - Suee Lim

Suee Lim menjawab pertanyaan pada sesi perbahasan menjunjung titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa sidang DUN Selangor pada Isnin.
Suee Lim menjawab pertanyaan pada sesi perbahasan menjunjung titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa sidang DUN Selangor pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) tidak boleh menaik taraf semua infrastruktur dan kemudahan awam dalam 'sekelip mata'.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, ramai penduduk khususnya di Klang menaruh harapan tinggi dan beranggapan apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bertukar status bandar raya semua infrastruktur kawasan lapang dapat dibaik pulih segera.

"Saya hendak beritahu secara ikhlas, kita tidak mampu lakukan dalam masa yang singkat.

"Bagaimanapun, kita ambil maklum dan akan tumpukan di mana-mana kawasan lapang termasuk taman permainan yang masih kekurangan landskap dan sebagainya untuk dinaik taraf," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mariam Abdul Rashid.

Terdahulu Mariam mencelah pada sesi perbahasan menjunjung titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin.

Mariam memberitahu, penjelasan Suee Lim lebih banyak tertumpu di kawasan utama iaitu di pusat bandar berbanding di kawasan Meru yang terletak di utara.

"Sedangkan di Meru ada 160 lebih yang rata-rata saya lihat kawasan lapang atau pun taman permainan yang tidak diselenggara dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Ini menyebabkan penduduk setempat tidak ada tempat atau pun tidak selesa khususnya anak-anak untuk beriadah," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, MBDK diminta melakukan tindakan efektif bagi menyelenggara segala kemudahan di taman terbabit.

"Saya berharap MBDK meletakkan keutamaan (di Meru) kerana mereka (penduduk di sini) juga adalah pembayar cukai dan jangan terlepas pandang dan kalau boleh seluruh Klang itu diambil kira untuk diperindahkan," kata beliau.

Suee Lim memberitahu, MBDK memperuntukkan kira-kira RM212 juta bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur dan pengindahan bagi kesejahteraan serta keselesaan warga Klang.

Ujar beliau, perbelanjaan itu meliputi aspek utama iaitu kebersihan alam sekitar dan kesihatan awam membabitkan peruntukan sebanyak RM91.9 juta, penyenggaraan parit RM24.9 juta, jalan RM67.2 juta dan pengindahan serta penyenggaraan taman dan landskap RM28 juta.

"Selain itu, kerja-kerja menaik taraf kawasan di bandar Klang Utama dan juga Klang Selatan turut dilaksanakan.

"Di samping itu, MBDK sedang giat melaksanakan kerja pengindahan dan landskap bandar Klang terutamanya di laluan utama masuk ke Klang, kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam dan infrastruktur juga telah dilakukan," tambahnya.

Justeru, katanya, MBDK akan memperkasa Klang sebagai bandar raya warisan diraja dan pelabuhan berdaya saing di peringkat global dengan menekankan pembangunan secara mampan, holistik berimej bandar warisan dan sejarah yang menjadi simbol kebanggaan penduduk.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!