'Saya tahu saman tidak hidupkan kembali anak saya'

Andrea bersama anak perempuannya, Haley Famke (kiri); peguam, Azlina Abdul Aziz; bapa dan ibu saudara Nathan iaitu, Riekele Borger (kanan) serta Yvon van der Zee (dua dari kiri) ketika sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya pada Rabu.
Andrea bersama anak perempuannya, Haley Famke (kiri); peguam, Azlina Abdul Aziz; bapa dan ibu saudara Nathan iaitu, Riekele Borger (kanan) serta Yvon van der Zee (dua dari kiri) ketika sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya pada Rabu.
A
A
A
PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] "Saya tahu tindakan saman tidak dapat hidupkan kembali anak saya yang telah hilang tetapi dengan tindakan bersama, kita dapat selamatkan orang lain daripada mengalami tragedi sama yang telah kita lalui," kata ibu kepada Nathan Renze, 14, yang dilaporkan hilang ketika menjalani aktiviti selaman pada April 2022.

Andrea Van Der Zee, 47, berkata, kehilangan anak lelakinya susulan insiden yang berlaku di perairan Pulau Tokong Sanggol, Mersing itu meninggalkan kesan trauma mendalam kepada keluarga mereka terutamanya suaminya, Adrian Peter Chesters, 48 yang juga terlibat dalam kejadian tersebut.

Ujar Andrea, keluarganya bertindak menyaman pihak pusat peranginan yang diinapi oleh Adrian Peter dan Nathan ketika insiden berkenaan bagi mengelakkan tragedi sama berulang kepada orang lain.

"Anak lelaki (Nathan) dan perempuan saya adalah jiwa dalam keluarga kami. Separuh daripada itu hilang dan kita perlu hidup dengan realiti itu setiap hari.

"Dia penting dan saya mahu berjuang untuknya. Saya berharap dengan berbuat demikian perkara ini tidak akan berlaku kepada orang lain dan tiada siapa perlu melalui perkara sama seperti yang kami sekeluarga alami.

"Saya meminta kerajaan Malaysia dan Sultan Johor untuk membantu mendapatkan keadilan untuk anak saya, untuk memastikan setiap rumah peranginan menitikberatkan soal kebajikan dan keselamatan tetamu mereka," katanya ketika dalam sidang media di sebuah hotel pada Rabu.

Turut hadir anak perempuan Andrea, Haley Famke, 17, bapa dan ibu saudara Nathan iaitu, Riekele Borger, 41, serta Yvon van der Zee, 44.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili keluarga Andrea, Azlina Abdul Aziz berkata, pihaknya telah menghantar writ dan surat tuntutan saman pada 30 April lalu membabitkan tiga parti dalam insiden berkenaan.

Menurut Azlina, antaranya ialah pusat peranginan yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan aktiviti selaman itu, syarikat mengendalikan pusat peranginan tersebut dan tekong bot yang bertugas membawa penyelam warga asing terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Kami diberitahu bahawa pihak mereka telah menerima dokumen pada 9 Mei 2024, jadi mereka ada 14 hari untuk membalas tuntutan kami dan kami diberitahu pihaknya sedang mencari peguam untuk mewakili mereka.

"Jadi tarikh untuk mereka e-Review ialah pada 13 Jun 2024. Itu kira kes pengurusan pertama," ujarnya.

Dalam kejadian pada 6 April 2022, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggol, Mersing kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman di sini.

Mereka ialah lelaki warga Britain, Adrian Peter, 46, bersama anaknya warga Belanda, Nathan Renze, 14, dua wanita masing-masing warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18, dan jurulatih penyelam 'Dive Master' dari Norway, Kristine Grodem, 35.

Adrian Peter dan Alexia Alexandria ditemui pada kedudukan 16 batu nautika utara Pulau Bintan, di perairan Indonesia oleh nelayan kira-kira jam 1 pagi pada 9 April lalu.

Adrian Peter turut memberi kenyataan kepada pihak berkuasa bahawa anaknya meninggal dunia selepas tidak dapat bertahan akibat terlalu lemah.

Jurulatih selam, Kristine Grodem pula ditemui pada 7 April lalu lebih 20 batu nautika dari lokasi dipercayai hilang.

Pada 9 April 2022, pencarian penyelam yang hilang di Mersing ditamatkan di perairan Malaysia dan operasi disambung oleh pihak berkuasa Indonesia di perairan negara itu bagi mengesan Nathan Renze.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!