EU bincang sekatan terhadap Israel jika enggan patuhi keputusan mahkamah antarabangsa

Tentera Israel berhampiran sempadan dengan Semenanjung Gaza, di selatan Israel. Foto Xinhua
Tentera Israel berhampiran sempadan dengan Semenanjung Gaza, di selatan Israel. Foto Xinhua
A
A
A

ATHENS - Kesatuan Eropah (EU) sedang berbincang untuk mengenakan sekatan terhadap Israel jika ia enggan mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengarahkan Israel menghentikan serta-merta kempen ketenteraannya di bandar Rafah, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik media tempatan pada Isnin.

Penyiar awam RTE yang memetik Menteri Luar Ireland, Michael Martin sebagai berkata, semasa mesyuarat Komuniti Politik Eropah, menteri-menteri luar EU buat pertama kalinya membincangkan prospek sekatan terhadap Israel jika ia terus mengabaikan perintah mahkamah itu.

"Sudah tentu, jika pematuhan tidak berlaku, maka kita perlu mempertimbangkan semua pilihan," katanya, sambil menambah bahawa Ireland akan menyokong pendekatan sedemikian.

Martin berkata, beberapa menteri luar juga telah menyuarakan kemungkinan sekatan terhadap pegawai-pegawai Israel yang membantu dan menyokong peneroka haram Israel yang ganas di Tebing Barat.

Beliau bagaimanapun berkata, "terdapat perbezaan pendapat antara mereka yang menyuarakan keperluan untuk pendekatan berasaskan sekatan jika Israel tidak mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, (dan) jelas sekali tiada persetujuan di peringkat Majlis EU memandangkan perspektif yang berbeza di sana."

Sekurang-kurangnya 40 orang maut dan hampir 250 yang lain cedera dalam pengeboman tentera rejim ke atas kem perlindungan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza.

Serangan itu berlaku berhampiran pangkalan logistik Agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Tal al-Sultan, kata Pejabat Media Gaza.

Pesawat tentera rejim menyasarkan beberapa khemah di kawasan itu dengan menggunakan peluru berpandu dan bom seberat 907.1 kilogram.

Artikel Berkaitan:

ICJ pada Jumaat mengarahkan Israel untuk menghentikan serta-merta serangan tenteranya di Rafah, membuka lintasan Rafah dan membenarkan akses kepada misi pencarian fakta antarabangsa.

Israel telah membunuh lebih 36,000 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas di tengah-tengah kemusnahan infrastruktur dan kekurangan keperluan penting, termasuk makanan, ubat-ubatan dan bekalan bahan api. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!