Dua beranak kekal lepas, bebas pertuduhan miliki arak tanpa kelulusan

Aplanayara (dua dari kanan) dan Kartik dan Haresh (kiri) dan Ramzani ketika di luar Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa.
Aplanayara (dua dari kanan) dan Kartik dan Haresh (kiri) dan Ramzani ketika di luar Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret yang melepaskan dan membebaskan dua beranak daripada pertuduhan memiliki pelbagai jenis arak bernilai RM3,494.40 tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dua tahun lalu.

Hakim, Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuannya yang meminta supaya mahkamah menyemak semula keputusan yang dibuat terhadap P Aplanayara, 65, dan A Kartik, 36, pada 12 Oktober tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki barang larangan iaitu 1,248 tin arak pelbagai jenama yang bernilai RM3,494.40 yang mana barang-barang tersebut adalah barang yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Kesalahan itu dilakukan pada 20 Februari 2020 jam lebih kurang jam 9.30 malam di sebuah rumah di Taman Sri Gelugor di Kuala Pilah.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu tertuduh turut didakwa memiliki 1,248 tin arak pelbagai jenama berduti eksais yang tidak dibuktikan telah dibayar duti eksais bernilai RM13,011. 60.

Peguam yang mewakili kedua-dua responden, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris berkata, pihaknya telah membuat permohonan representasi kepada pihak pendakwaan dua bulan lalu supaya mengkaji semula rayuan dikemukakan.

"Pihak pendakwaan setuju untuk menarik balik rayuan tersebut dan perintah mahkamah melepas dan membebaskan itu dikekalkan," katanya kepada pemberita ditemui di luar mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Erei Yuskha Mohd Yusof.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!