Ibu cuba selamatkan anak punca dua beranak lemas

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

TAWAU - Tiada sebarang unsur jenayah dikesan daripada mayat dua beranak yang ditemui lemas dalam sebuah kolam di Kampung Nasib Kita, di sini.

Sebaliknya mangsa, Suriani Amir, 41, dipercayai cuba menyelamatkan anak lelakinya, Risdy Rudy, 7, yang lemas di kolam tersebut.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, keputusan itu susulan daripada hasil bedah siasat terhadap kedua-dua mayat mangsa pada Rabu.

"Bedah siasat telah dijalankan pada jam 10 hingga 12 tengah hari oleh pakar patologi dan mengesahkan bahawa tiada sebarang unsur jenayah didapati pada kedua-dua mangsa.

"Tiada sebarang kesan hirisan, tetakan akibat perbuatan jenayah atau melibatkan kejadian rogol terhadap mangsa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, Jasmin berkata, punca kematian kedua-dua mangsa disebabkan mati lemas.

"Kanak-kanak tersebut dipercayai telah lemas dalam kolam dan ibunya cuba untuk menyelamatkannya namun tidak berjaya.

"Wanita tersebut akhirnya lemas bersama-sama anaknya. Susulan daripada itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Rabu melaporkan dua beranak ditemukan meninggal dunia dipercayai lemas dalam kolam tersebut pada Selasa.

Ketika ditemui, mangsa didapati terbelit pada tali ketika diambil dari dalam kolam yang terletak di hadapan rumah.