Mahu main bola sepak atau jadi samseng?

Tular kejadian di sebuah sekolah apabila seorang pelajar lelaki bertindak memukul pengadil perlawanan ketika MSDD di Kedah.
Tular kejadian di sebuah sekolah apabila seorang pelajar lelaki bertindak memukul pengadil perlawanan ketika MSDD di Kedah.
A
A
A

ARENA sukan negara nampaknya semakin bersinar seiring dengan negara-negara lain apabila satu persatu kejayaan membanggakan atlet kita dicapai di pentas antarabangsa.

Bahkan, tidak lagi menjadi kerisauan buat negara untuk melahirkan pelapis-pelapis baharu apabila ramai anak-anak muda yang sudah menunjukkan pencapaian luar biasa bermula di sekolah, termasuk sukan bola sepak.

Di peringkat sekolah misalnya, sudah dapat dilihat bakat pelajar-pelajar ini dalam sukan bola sepak.

Baru-baru ini, Sinar Bestari turut melaporkan kejayaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, Sabah menjuarai pertandingan Bola Sepak Menengah Atas Seluruh Daerah (MSSD) 2024 bagi kategori bawah 18 tahun.

Tidak mustahil satu hari nanti skuad Harimau Malaya akan dibarisi dengan pemain-pemain hebat untuk mengangkat negara mencapai kejayaan membanggakan di peringkat dunia pula.

Berbicara soal bola sepak, kita sering kali mendengar sisi negatif apabila berlakunya salah faham atau rasa tidak puas hati sehingga menyebabkan pergaduhan dalam kalangan pemain, sama ada kecil atau besar.

Baru-baru ini berlaku satu kejadian di sebuah sekolah apabila seorang pelajar lelaki bertindak memukul pengadil perlawanan ketika MSDD di Kedah.

Menerusi rakaman video tular, pergaduhan itu berlaku antara pemain dua pasukan yang bertanding sebelum seorang pelajar menolak pengadil secara tiba-tiba.

Artikel Berkaitan:

Insiden itu bertambah tegang apabila pengadil tersebut dilihat cuba mengejar pelajar berkenaan.

Beberapa pemain daripada pasukan sama kemudian menolak, menyepak dan menumbuk pengadil.

Insiden ini sama sekali tidak manis untuk dipertontonkan kerana bukan sahaja mencemarkan nama baik sekolah, malah arena sukan tanah air.

Ramai juga yang marah dan berpendapat tindakan pelajar berkenaan adalah biadab dan kurang ajar, selain turut mempersoalkan kualiti pelajar terbabit untuk bergelar seseorang atlet negara pada masa hadapan.

Sukan sebenarnya menyatukan kita semua tidak kira umur, bangsa dan agama. Bagaimanapun, hari ini semakin menjadi-jadi pula pergaduhan dalam bola sepak seolah-olah menjadi satu budaya yang sukar dibendung sehingga tular di media sosial.

Sememangnya semangat kesukanan itu penting dalam diri setiap pemain bagi menyuntik kesungguhan untuk mencapai kejuaraan, namun perlulah seiring dengan kebijaksanaan mengawal emosi.

Setiap pergaduhan yang berlaku dalam perlawanan bola sepak adalah berpunca daripada kegagalan mengawal emosi disebabkan sikap tidak puas hati.

Dalam apa jua sukan sekalipun, pasti ada sesetengah keadaan yang menyebabkan rasa tidak puas hati, namun sebenarnya ia boleh diselesaikan secara profesional dan mengikut saluran tertentu.

Negara kita bukan sahaja mahu melahirkan atlet berkualiti, tetapi mempunyai keperibadian yang positif agar dapat mengangkat nama baik negara di mata dunia.

Justeru, insiden pergaduhan dalam apa jua sukan perlu dihentikan bermula dari peringkat akar umbi terutamanya di sekolah dengan menjadikan sukan sebagai satu acara menyeronokkan dan bukan tempat melepaskan amarah.

Isu keganasan dalam sukan terutamanya bola sepak perlu dipandang serius oleh semua pihak terutama di peringkat kementerian bagi memastikan ia tidak menjadi barah.

Seharusnya sukan menjadi satu aktiviti yang selamat buat para pemain, pengadil mahupun penyokong yang hadir memberi sokongan jitu terhadap sukan berkenaan.

Alangkah lebih baik sekiranya semua lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan umur, bangsa dan budaya disatukan dalam sukan yang boleh mengangkat nama baik negara ke persada dunia.

* Azleenda Sahaludin ialah Wartawan Sinar Bestari

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!