'Maruah kita tak serendah dia, Warisan nafi serang Papagomo'

Tindakan Papagomo mengoyakkan gambar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika berkempen pada PRK Kimanis baru-baru ini turut tular. Gambar kanan, Tular video Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo diserang beberapa individu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) semalam.
Tindakan Papagomo mengoyakkan gambar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika berkempen pada PRK Kimanis baru-baru ini turut tular. Gambar kanan, Tular video Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo diserang beberapa individu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) semalam.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Parti Warisan Sabah (Warisan) menafikan terlibat dalam insiden kekerasan ke atas Exco Pemuda UMNO, Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) semalam.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua berkata, Warisan tidak tahu menahu mengenai kejadian berkenaan sehinggalah ia ditularkan.

Katanya, Warisan tidak akan menyokong mana-mana budaya samseng kerana ia tidak diterima di sini.

"Walaupun Papagomo menunjukkan aksi samsengnya sebelum ini sehinggakan menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pelbagai pihak, namun ini tidak bermakna kita perlu meletakkan maruah kita serendah beliau.

"Warisan tidak berkompromi dengan budaya samseng," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan ketika Muhammad Azri berada di KKIA untuk pulang ke Kuala Lumpur, beliau telah ‘dikepung’ dan menerima provokasi daripada sekumpulan lelaki.

Difahamkan, ia disebabkan tindakan Muhammad Azri yang mengoyakkan gambar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis baru-baru ini.

Dalam pada itu, polis mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu yang dibuat oleh Muhammad Azri di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur pada hari ini jam 2.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan akan memanggil kedua-dua pihak yang terlibat dalam insiden itu seperti rakaman video yang ditularkan menerusi media sosial bagi tujuan siasatan lanjut.

"Polis Sabah memohon saksi kejadian dan orang ramai yang melihat insiden itu tampil membantu siasatan apabila dipanggil untuk berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, polis memandang serius kejadian ini dan siasatan kes akan disegerakan sebelum dirujuk ke pejabat peguam negara untuk arahan selanjutnya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Papagomo buat laporan polis, beliau 'diserang' di KKIA