Lebih 2,000 orang tertimbus dalam tanah runtuh di Papua New Guinea

Lebih 2,000 orang telah tertimbus dalam tanah runtuh yang memusnahkan sebuah perkampungan tanah tinggi terpencil di Papua New Guinea. Foto AFP
Lebih 2,000 orang telah tertimbus dalam tanah runtuh yang memusnahkan sebuah perkampungan tanah tinggi terpencil di Papua New Guinea. Foto AFP
A
A
A

SYDNEY - Pusat Bencana Kebangsaan (NDC) Papua New Guinea (PNG) mengesahkan lebih 2,000 orang tertimbus hidup-hidup selepas bencana tanah runtuh besar-besaran berlaku pada Jumaat di Wilayah Enga.

Ketua Misi Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) di negara kepulauan Pasifik, Serhan Aktoprak memberitahu Xinhua bahawa agensi migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima kenyataan itu pada Isnin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pemangku pengarah pusat itu, Lusete Laso Mana, bencana itu turut menyebabkan kemusnahan besar kepada bangunan dan kebun tanaman, selain memberi impak besar kepada nadi ekonomi PNG.

"Lebuhraya utama ke Lombong Porgera sepenuhnya terhalang. Keadaan masih tidak stabil kerana tanah runtuh terus bergerak perlahan, menimbulkan bahaya berterusan kepada pasukan penyelamat dan mangsa yang terselamat," kata Mana.

Pemangku pengarah itu juga menyatakan bahawa pasukan kerajaan bersama telah memeriksa kampung yang terjejas pada Ahad dan menyerahkan cek bernilai 500,000 kina (kira-kira AS$128,796) kepada Kerajaan Wilayah Enga untuk menyediakan bantuan segera. - Bernama-Xinhua

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: