Indonesia larang polis hisap vape

JAKARTA – Polis Republik Indonesia (Polri) melarang semua anggotanya menggunakan rokok elektronik atau vape, termasuk di luar waktu bekerja, susulan kebimbangan peranti itu disalahgunakan sebagai medium pengedaran narkotik.
Memetik laporan Antara News, larangan itu terkandung dalam Surat Edaran Kapolri Nomor SE/9/X/2026 yang dikeluarkan pada Jumaat lalu dan berkuat kuasa terhadap semua anggota serta kakitangan awam di bawah Polri.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polri, Irjen Pol Johnny Eddizon Isir berkata, keputusan itu merupakan langkah pencegahan susulan perkembangan modus penyalahgunaan dan pengedaran dadah yang semakin berubah.
Menurutnya, peranti vape berpotensi digunakan untuk menyembunyikan bahan narkotik menerusi cecair yang dicampurkan ke dalam kartrij.
“Peranti vape berpotensi dimanfaatkan sebagai medium penyalahgunaan dan pengedaran narkotik, termasuk melalui cecair yang dicampurkan ke dalam kartrij.
“Perkara ini menjadi perhatian serius kerana kandungannya secara fizikal tidak selalu dapat dibezakan antara cecair biasa dengan cecair yang mengandungi narkotik,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, antara bahan yang menjadi perhatian ialah etomidate yang diklasifikasikan sebagai narkotik Kumpulan II berdasarkan Peraturan Menteri Kesihatan Indonesia Nomor 15 Tahun 2025.
Larangan berkenaan terpakai kepada semua anggota di peringkat Markas Besar Polri, Polis Daerah (Polda), Polis Resort (Polres) dan Polis Sektor (Polsek).
Anggota yang melanggar arahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut peraturan disiplin serta ketetapan yang berkuat kuasa.
Johnny berkata, langkah berkenaan membuktikan usaha membanteras dadah bukan hanya tertumpu kepada tindakan penguatkuasaan terhadap masyarakat, sebaliknya perlu dimulakan dari dalam institusi kepolisan sendiri.
“Kami berharap langkah yang bermula dari dalaman Polri ini dapat menjadi contoh dan diikuti institusi serta elemen masyarakat lain.
“Usaha memerangi dadah memerlukan komitmen bersama, bukan hanya melalui penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga pencegahan dan perubahan tingkah laku,” katanya.
Beliau menambah, dasar itu turut bertujuan membentuk persekitaran kerja Polri yang lebih berdisiplin, profesional dan berintegriti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

