Tanah runtuh: Malaysia sedia hulur bantuan kepada Papua New Guinea

kejadian tanah runtuh melanda Kampung Kaokalam di Wilayah Enga, kira-kira 600 kilometer ke barat laut ibu negara Port Moresby kira-kira 3 pagi Jumaat, dengan ratusan orang dikhuatiri terkorban. Foto REUTERS
kejadian tanah runtuh melanda Kampung Kaokalam di Wilayah Enga, kira-kira 600 kilometer ke barat laut ibu negara Port Moresby kira-kira 3 pagi Jumaat, dengan ratusan orang dikhuatiri terkorban. Foto REUTERS
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada Papua New Guinea (PNG) yang telah dilanda tanah runtuh semalam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ingatan saya adalah bersama penduduk Papua New Guinea berikutan kejadian tanah runtuh yang dahsyat meragut nyawa lebih 100 nyawa di wilayah Enga. Malaysia bersedia menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara kita di PNG,” katanya di Facebook pada Sabtu.

Anwar berkata, bantuan kepada tragedi itu akan mencabar, dengan mengambil kira kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan pergunungan terpencil dan muka bumi yang berceranggah pada awal pagi Jumaat.

Semalam, beberapa agensi media melaporkan kejadian tanah runtuh melanda Kampung Kaokalam di Wilayah Enga, kira-kira 600 kilometer ke barat laut ibu negara Port Moresby kira-kira 3 pagi Jumaat, dengan ratusan orang dikhuatiri terkorban.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengesahkan jumlah mereka yang terkorban.

Wisma Putra pada Sabtu memaklumkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkesan atau menjadi mangsa tanah runtuh tersebut.

"Malaysia bersimpati dan mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terkesan oleh tanah runtuh itu, selain kepada rakyat dan kerajaan Papua New Guinea, menurut kenyataan Wisma Putra. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: