Pekerja penghantaran didakwa edar 1.12kg kanabis

Mohamad Faiezi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan mengedar 1.12kg dadah, dua minggu lepas. Foto Bernama
Mohamad Faiezi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan mengedar 1.12kg dadah, dua minggu lepas. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Seorang pekerja penghantaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan mengedar 1.12 kilogram (kg) dadah, dua minggu lepas.

Mohamad Faiezi Mohamad Aris, 29, hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.

Tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu jenis kanabis seberat 1,120 gram di sebuah rumah di Kampung Sungai Rokam di sini, pada kira-kira 11.20 malam, 17 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B (2) akta sama (Akta 234) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, sekiranya tidak dihukum mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam, J Matthews dan Farhan Fadzil.

Majistret Farah Nabihah menetapkan 26 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.

Terdahulu dalam prosiding sama, Mohamad Faiezi turut didakwa ada dalam milikannya dadah jenis kanabis seberat 18.25 gram di pondok di hadapan sebelah kanan rumah yang sama, pada kira-kira 10.50 malam, hari yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6 akta yang sama (Akta 234) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu dan mahkamah menetapkan tiada jaminan diberikan kerana Mohamad Faiezi turut didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952, selain menetapkan 26 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Selain itu, Mohamad Faiezi juga didakwa bersama Mohd Rasif @ Mohd Razif Ismail, 57, Aliff Haiqal Sairi, 25, Aiman Safiuddin Zulkifli, 30, Nazirul Azizi Zul Akmar, 25, dan Adam Haziq Ahmad Azua, 19, telah ada dalam milikan mereka dadah jenis kanabis seberat 18.60 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6 akta yang sama (Akta 234) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan mahkamah menetapkan kesemua mereka kecuali Mohamad Faiezi, dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

Majistret Farah Nabihah menetapkan 26 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kedua-dua pendakwaan itu dikendalikan Nurul Hidayu, manakala Mohamad Faiezi diwakili Matthews dan Farhan, sementara peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Hajar Hamzah mewakili lima lagi tertuduh bagi pertuduhan bersama tersebut. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!