Risiko cacat kekal, hilang nyawa - Pakar

Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan kanta lekap yang tidak berdaftar boleh menyebabkan cacat kekal seperti kebutaan dan hilang organ mata kepada pemakainya.

Pengarah Perkhidmatan Kornea, Penyakit Luaran dan Pembedahan Refraktif, Klinik Pakar Mata Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr Khairidzan Mohd Kamal berkata, malah lebih teruk lagi apabila pemakai berisiko mengalami jangkitan yang boleh merebak ke organ lain jika tidak mendapat rawatan awal.

Katanya, kanta lekap bersentuh secara terus dengan organ mata sekali gus memudahkan jangkitan kuman pada lapisan kornea mata yang dipanggil ulser kornea.

“Kanta lekap ini memerlukan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana kita khuatir ada isu menggunakan sumber yang membahayakan mata seperti toksik.

“Mata boleh rosak dan berparut, ada juga kes terpaksa buang mata seperti jangkitan kuman lain. Jika tidak dirawat akan merebak ke organ lain dan boleh membahayakan nyawa,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Tambah Khairidzan, mereka yang ingin memakai kanta lekap perlu membuat pemeriksaan terlebih dahulu bagi memastikan tiada kesan sampingan pada masa depan.

“Ramai yang pakai kanta lekap ini untuk tujuan kosmetik, bukan disebabkan rabun. Tiada masalah sebenarnya tetapi periksa dahulu sesuai atau tidak.

“Sebab bagi mereka yang mempunyai masalah mata kering, alahan dan mata tidak normal penggunaan kanta lekap tidak digalakkan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menasihati orang ramai agak memastikan kanta lengkap mempunyai kelulusan daripada KKM sebelum dibeli.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!