Angka pelarian dunia cecah hampir 76 juta orang

'Bandar khemah' yang menempatkan golongan pelarian sudah menjadi perkara biasa di kebanyakan negara bergolak.
'Bandar khemah' yang menempatkan golongan pelarian sudah menjadi perkara biasa di kebanyakan negara bergolak.
A
A
A

GENEVA - Konflik di Sudan dan Perang Gaza telah melonjakkan jumlah pelarian dalam negara (IDP) seluruh dunia kepada 75.9 juta orang pada akhir 2023.

Angka tersebut dikeluarkan Pusat Pemantauan Pelarian (IDMC) baru-baru ini yang turut menyatakan jumlah itu adalah tertinggi dengan bilangan penduduk hilang tempat tinggal di sempadan negara mereka sendiri meningkat kepada lebih 50 peratus dalam tempoh lima tahun lalu.

Jumlah itu menyaksikan peningkatan berbanding 71.1 juta orang pada akhir 2022.

Menerusi Laporan Global mengenai Pelarian Dalam Negara Sendiri, IDMC menjelaskan seramai 68.3 juta orang seluruh dunia tiada tempat tinggal akibat konflik dan keganasan, manakala kira-kira 7.7 juta orang berdepan situasi itu disebabkan bencana.

Sejak lima tahun lalu, jumlah IDP yang berpunca daripada konflik melonjak kepada 22.6 juta orang, sekali gus menyaksikan peningkatan luar biasa pada 2022 dan 2023.

Sudan merekodkan angka tertinggi dengan 9.1 juta IDP sejak data itu dikumpulkan pada 2008.

Perpindahan secara paksa menyaksikan peningkatan luar biasa.
Perpindahan secara paksa menyaksikan peningkatan luar biasa.

Kiraan dilakukan AFP berdasarkan angka dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan IDP menyumbang kira-kira 18.4 peratus daripada 49.4 juta populasi.

Artikel Berkaitan:

Di Genting Gaza, kira-kira 1.7 juta penduduk Palestin terpaksa menjadi pelarian di dalam wilayah sendiri sehingga akhir 2023 dengan sebanyak 3.4 juta pergerakan baharu.

Angka itu bermakna sebanyak 77 peratus daripada 2.2 juta penduduk dipaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

Pengarah IDMC, Alexandra Bilak berkata, jumlah penduduk terpaksa keluar dari rumah sendiri akibat konflik dan keganasan terus meningkat, malah semakin membimbangkan.

“Krisis dan kemusnahan menghalang jutaan penduduk membina semula kehidupan mereka yang selalunya mengambil masa bertahun-tahun,” ujarnya.

IDP boleh berlaku beberapa kali dan sebahagian besar daripada golongan itu tinggal di sub-Sahara Afrika.
IDP boleh berlaku beberapa kali dan sebahagian besar daripada golongan itu tinggal di sub-Sahara Afrika.

Laporan itu juga menunjukkan IDP boleh berlaku beberapa kali dan sebahagian besar daripada golongan berkenaan tinggal di sub-Sahara Afrika.

Pada tahun lalu, 46.9 juta pergerakan secara paksa direkodkan dan 20.5 juta daripadanya berpunca daripada konflik serta keganasan, manakala 26.4 juta disebabkan bencana.

Pertempuran ganas di Sudan, Republik Demokratik Congo dan Palestin menyumbang hampir dua pertiga daripada gelombang pergerakan baharu itu pada 2023.

Sepanjang tahun lalu, terdapat enam juta pergerakan secara paksa disebabkan konflik bersenjata di Khartoum dan angka itu adalah jauh lebih tinggi berbanding gabungan angka selama tempoh 14 tahun.

Jumlah kedua tertinggi adalah di Ukraine dengan 16.9 juta pergerakan secara paksa pada 2022.

“Kami tidak pernah menyaksikan gelombang sebegini,” kata Jan Egeland yang merupakan Ketua Majlis Pelarian Norway yang menubuhkan IDMC pada 1998.

Menurutnya, ia jelas menunjukkan kegagalan langkah pencegahan konflik dan mewujudkan keamanan.

Jumlah penduduk hilang tempat tinggal dijangka meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang disebabkan intensiti dan kekerapan bencana alam.
Jumlah penduduk hilang tempat tinggal dijangka meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang disebabkan intensiti dan kekerapan bencana alam.

“Kekurangan perlindungan dan bantuan terhadap golongan itu tidak wajar berterusan,” ujarnya lagi.

Selain itu, data tersebut juga mendapati satu pertiga daripada 26.4 juta perpindahan secara paksa itu berlaku di China dan Turkiye disebabkan bencana alam termasuk gempa bumi.

Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) memberi amaran jumlah penduduk hilang tempat tinggal dijangka meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang disebabkan intensiti dan kekerapan bencana alam yang berpunca daripada fenomena perubahan iklim.

“Angka pelarian dalam negara itu berpotensi meningkat kepada 47 juta orang. Ia bakal menyaksikan situasi mengerikan.

“Laporan itu peringatan jelas tentang keperluan mendesak dan penyelarasan diperlukan untuk memperluaskan langkah pengurangan risiko bagi memastikan perlindungan hak asasi manusia. Tujuan utamanya adalah mengekang gelombang perpindahan baharu,” menurut Timbalan Ketua Pengarah, Ugochi Daniels. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!