Pengadu tak setuju Firdaus Wong, pasukan NGO fail saman sivil terhadap Ebit Lew

Ebit ketika hadir di Mahkamah Majistret Tenom pada Jumaat
Ebit ketika hadir di Mahkamah Majistret Tenom pada Jumaat
A
A
A

TENOM - Pengadu kes Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa dia tidak bersetuju dengan cadangan Firdaus Wong dan pasukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memfailkan saman sivil terhadap pendakwah terbabit.

Malah dalam keterangan pengadu yang juga saksi pendakwaan kesembilan memaklumkan bahawa dia tidak tahu mengenai jumlah yang besar untuk pampasan terhadap Ebit Lew.

Pengadu berkata demikian ketika menjawab soalan dalam sesi pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ram Singh yang mewakili Ebit Lew dalam kes terbabit.

Ram kemudian turut bertanya adakah pengadu mengatakan bahawa Firdaus Wong dan pasukan NGO terbabit buat tuntutan sivil tanpa persetujuan atau kebenarannya terlebih dahulu.

"Seperti saya cakap tadi mereka ada bagi cadangan dan saya tidak setuju dengan saman sivil," katanya dalam keterangannya di Mahkamah Majistret Tenom, di sini pada Jumaat.

Ditanya adakah pengadu memberikan arahan untuk memfailkan saman sivil terbabit, pengadu menegaskan dia tidak memberikan arahan itu.

Susulan desakan soalan terbabit, Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria membantah bahawa soalan tersebut tidak releven.

"Kami membantah soalan terperinci mengenai kes saman sivil kerana tidak releven terhadap kes hari ini dan saya percaya saksi sebagai orang awam tidak arif prosedur undang-undang sivil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Perbicaraan kali ini ditangguhkan dan akan disambung semula pada 26 hingga 30 Ogos dan 2 hingga 6 September depan.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan oleh Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Ebit Lew diwakili oleh Ram dan Kamarudin Mohmad Chinki manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!