Suri rumah nafi buat komunikasi palsu isu curi sarung pasport di pejabat Imigresen

Tun Nur Syalisa (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, dengan diiringi peguamnya.
Tun Nur Syalisa (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, dengan diiringi peguamnya.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan membuat komunikasi palsu berhubung dakwaan seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menuduhnya mencuri sarung pasport, tiga bulan lalu.

Tun Nur Syalisa Muhamad Yusni, 28, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Muhammad Ilmami Ahmad.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu menerusi perkhidmatan aplikasi ‘Threads’ menggunakan akaun ‘lisayusni’ pada 21 Ogos lalu.

Hantaran itu mendakwa seorang pegawai JIM di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu telah menuduhnya mencuri sarung pasport dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Komunikasi berkenaan dibaca di Pejabat Imigresen UTC itu, di Dang Wangi, di sini pada jam 9 pagi 24 Ogos.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut boleh mengenakan denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Bagaimanapun, peguam, Mohammad Shafiee Afendi yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya diberi ikat jamin sebanyak RM3,000 atas alasan dia bergantung sepenuhnya dengan pendapatan suami sebagai jurulatih peribadi.

“Dia tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri malah kes berkenaan tidak melibatkan keganasan fizikal, isu 3R iaitu perkauman, agama atau institusi diraja.

“Kami tidak kisah sekiranya anak guam dikenakan sebarang syarat tambahan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Muhammad Ilmami membenarkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

“Ia termasuk syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya menambah sebutan semula pada 11 Januari 2027.

Pada 25 Ogos Jabatan Imigresen (JIM) membuat laporan polis susulan satu hantaran tular di media sosial berhubung dakwaan pengalaman seorang pemohon ketika mendapatkan perkhidmatan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu Sentral.

Sebelum ini, media melaporkan, polis merakam keterangan daripada pegawai JIM dan seorang wanita yang terbabit dalam dakwaan kes kecurian sarung pasport di pejabat Imigresen terbabit.

Tular di media sosial, seorang wanita mendakwa dirinya dimalukan di hadapan orang ramai selepas seorang pegawai JIM didakwa menuduhnya mencuri sarung pasport ketika berurusan di pejabat imigresen berkenaan.

Wanita itu mendakwa, dia secara tidak sengaja membawa keluar sarung pasport selepas tersilap menyangka sarung berkenaan diberikan secara percuma bersama pasport baharunya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!