Pengadu dakwa terima panggilan tidak senonoh dari Ebit Lew

Ebit ketika keluar daripada Mahkamah Majistret Tenom.
Ebit ketika keluar daripada Mahkamah Majistret Tenom.
A
A
A

TENOM - Pengadu kes Ebit Lew menyenaraikan terdapat sebanyak sembilan panggilan diterimanya daripada pendakwah tersebut sepanjang dari bulan Mac hingga Mei 2021.

Dalam keterangan pengadu yang juga saksi pendakwaan kesembilan memberitahu mahkamah bahawa antara panggilan yang diterima adalah pada tarikh 20 Mei 2021 iaitu selama 2,694 saat.

Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria kemudian meminta saksi menceritakan apa yang berlaku pada Mei 2021 berdasarkan dua gambar tangkap layar yang dirujuk kepadanya di mahkamah.

Saksi memaklumkan ketika itu Ebit membuat panggilan video dengannya dan melakukan adegan mengaibkan.

Saksi juga diminta menjelaskan berada di mana ketika itu dan jam berapa panggilan video tersebut dibuat.

"Dalam bilik rumah saya dan saya di atas katil. Pagi sewaktu itu dia kata isteri dia keluar rumah. Hampir jam 8 pagi sebab saya ingat dia ada bagi teks, dia kata 8.15 isteri balik," katanya," katanya ketika memberi keterangan dalam pemeriksaan utama di Mahkamah Majistret Tenom di sini pada Jumaat.

Sementara itu, saksi juga diminta menjelaskan butiran perbualannya selepas mengesahkan bahawa panggilan telefon selama 44 minit dan 54 saat yang diterima pada tarikh sama seperti dalam dokumen pengendali telekomunikasi yang dirujuk kepadanya di mahkamah.

Saksi turut diminta merujuk dengan satu lagi dokumen berhubung panggilan selama 27 minit pada jam 7.50 pagi, tarikh yang sama dibuat terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan oleh Zahida dan Analia Kamaruddin sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

Ebit diwakili oleh Datuk Ram Singh dan Kamarudin Mohmad Chinki manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Perbicaraan ditangguhkan dan disambung semula pada jam 2.30 petang untuk pemeriksaan balas daripada pihak pembelaaan.