Mahkamah main video mirip Ebit Lew berkelakuan tidak senonoh

Ebit lew ketika hadir di Mahkamah Majistret Tenom.
Ebit lew ketika hadir di Mahkamah Majistret Tenom.
A
A
A

TENOM - Mahkamah memainkan empat rakaman video klip termasuk dua daripadanya memaparkan wajah mirip pendakwah terkenal berkelakuan tidak senonoh untuk dijelaskan oleh pengadu dalam kes gangguan seksual melibatkan Ebit Lew.

Dalam paparan semua video terbabit, pengadu yang juga saksi kesembilan memberitahu mahkamah dua video tersebut diterimanya selepas tersebar berita gangguan seksual daripada seorang pendakwah terkenal, namun ia bukan berkaitan dengannya.

"Video ini (video pertama) saya tengok Ebit tengah VC (panggilan video) dengan seorang perempuan dan perempuan itu bukan saya.

"Saya nampak dalam video (video ketiga) itu ada rupa Ebit dan saya tidak tahu, tidak nampak siapa yang VC dengan beliau dan itu bukan saya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta memberi keterangan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria dalam pemeriksaan utama dia berhubung video yang dipaparkan di skrin komputer di Mahkamah Majistret Tenom, di sini pada Khamis.

Jelasnya lagi, satu video yang dimainkan di mahkamah merupakan video yang dirakam sebelum menyekat nombor telefon pendakwah tersebut manakala video yang seterusnya adalah melibatkan perbualan WhatsApp.

"Video ini (video kedua) adalah yang sempat saya rakam sebelum saya 'block' beliau. Dalam video itu ada suara Ebit minta tunjuk badan, buah dada, dan kaki tapi saya tidak tunjukkan.

"Video ini (perbualan WhatsApp) saya rakam teks Ebit kepada saya sebelum saya serahkan kepada telefon kepada polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, saksi diminta menjelaskan kenapa beliau tidak menyekat saja nombor telefon selepas pertama kali menerima gambar kemaluan daripada Ebit Lew.

"Saya tidak halang sebab yang saya hubungi itu adalah Ebit Lew dan saya tahu itu dia, jadi saya tertanya-tanya betulkah dia yang bagi gambar itu," katanya.

Ditanya maksud tertanya-tanya yang disebutkan dalam keterangannya, wanita itu berkata, Ebit Lew yang dikenali adalah seorang ustaz.

"Jadi saya mahu tahu adakah betul dia atau tidak. Lepas itu saya ingin tahu kenapa dia bagi gambar itu, sebab yang saya kenal dia seorang yang baik tapi kenapa bagi gambar macam itu," katanya.

Dalam keterangannya, saksi turut menjelaskan tindakan menyekat nombor telefon Ebit Lew dilakukan pada 9 April 2021.

Diminta menjelaskan kenapa saksi mengambil tindakan menyekat, kemudian menyahsekat dan seterusnya kembali menyekat nombor telefon tersebut, beliau memberitahu mahkamah bahawa dia keliru dan bimbang dengan tindakannya itu.

"Memang betul mulanya saya block dia tapi hari itu saya jadi keliru, saya jadi risau, saya block sebab saya marah sebab dia bagi ayat lucah, dia minta gambar lucah tapi dalam masa sama saya 'unblock' sebab saya risau, saya bagi dia gambar.

"Gambar-gambar saya ada ada tempat dia, sebab itu saya unblock dia tidak minta maaf pun atas perbuatan dia jadi bagi saya dia tidak berubah, dia jahat, sebab itu ada kesinambungan mesej," katanya.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan oleh Zahida dan Analia Kamaruddin sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Ebit Lew diwakili oleh Datuk Ram Singh dan Kamarudin Mohmad Chinki manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!