[VIDEO] Pengadu mengaku hantar gambar payudara kepada Ebit Lew

A
A
A

TENOM - Pengadu dalam kes Ebit Lew mengaku bahawa dia telah menghantar gambar payudara miliknya kepada pendakwah terbabit.

Pengadu yang juga saksi pendakwaan kesembilan membuat pengakuan itu ketika ditanya oleh peguam, Datuk Ram Singh adakah gambar payudara terbabit miliknya.

Sebelum itu, pengadu diminta untuk merujuk kepada gambar di dalam laporan LGMS yang dikemukakan di mahkamah.

Ram dalam pada itu turut bertanya adakah pengadu ingat kepada siapa dia menghantar gambar-gambar terbabit.

"Ingat, Ebit Lew," katanya ringkas menerusi sesi pemeriksaan balas oleh Ram yang mewakili Ebit Lew dalam perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom pada Jumaat.

Saksi juga dalam keterangannya turut mengaku ada menghantar gambar wajahnya selepas diminta merujuk kepada laporan LGMS terbabit.

Dalam pemeriksaan balas Ram turut bertanya bahawa pengadu juga turut mendedahkan kaki dan bahagian atas badannya dalam mesej.

"Ya, sebab itu saya marah. Saya terikut kehendak Ebit untuk melihatkan atas badan saya, bukan kaki," kata saksi.

Artikel Berkaitan:

Ditanya adakah suaminya tahu mengenai perkongsian gambar yang mendedahkan kaki dan atas badan beliau, pengadu memaklumkan pasangannya itu tahu mengenainya.

"Ya, saya bagitahu sebab bila saya sedar Ebit minta macam itu, saya jadi marah jadi saya kongsi dengan suami," katanya.

Ram sekali lagi bertanya jika pengadu tidak bertujuan untuk menggoda kenapa beliau menunjukkan gambar tersebut kepada Ebit Lew.

Ebit ketika keluar daripada Mahkamah Majistret Tenom pada Jumaat
Ebit ketika keluar daripada Mahkamah Majistret Tenom pada Jumaat

"Seperti keterangan saya dalam WhatsApp dia selalu memaksa, ada satu ketika saya terikut kehendak dia tapi selepas itu saya marah dia, kalau ikutkan dia minta lagi banyak tapi saya tidak ikut," jelas saksi.

Sementara itu, dalam sesi pemeriksaan balas itu juga Ram juga bertanya kenapa pengadu tidak menyekat Ebit Lew selepas menerima kata-kata lucah menurut laporan polis yang dilakukannya.

"Seperti dalam keterangan saya, saya sudah 'block' awal April tapi saya dalam keadaan keliru sebab Ebit ada gambar saya.

"Jadi, selepas itu saya 'unblock' (nyahsekat) dan marah beliau, dia ada minta maaf, saya fikir dia tidak buat lagi lepas itu," jelasnya.

Seterusnya, Ram bertanya pengadu adakah beliau setuju bahawa dia sudah cukup matang sebagai seorang wanita berkeluarga untuk menghentikan kata-kata lucah dan panggilan video yang dihantar kepadanya.

Saksi ketika kejadian berusia 41 tahun memberitahu mahkamah bahawa dia setuju dengan pendapat tersebut dan turut bersetuju kerana tidak menghentikan perkara itu.

Untuk rekod, LGMS merupakan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan keselamatan siber profesional Malaysia.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan oleh Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Ebit Lew diwakili oleh Ram dan Kamarudin Mohmad Chinki manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!