Peniaga sambut baik bantuan tunai diesel

Golongan peniaga sambut baik bantuan tunai tetapi memerlukan penjelasan lanjut. Gambar kecil dari kiri: Mohamad Safik, Mohd Azahari, Norhayati
Golongan peniaga sambut baik bantuan tunai tetapi memerlukan penjelasan lanjut. Gambar kecil dari kiri: Mohamad Safik, Mohd Azahari, Norhayati
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Golongan peniaga kecil dekat sini menyambut baik bantuan tunai daripada kerajaan dalam usaha menampung perbelanjaan diesel harian mereka.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata peniaga berharap agar bantuan tunai tersebut menjadi realiti kerana ia juga dilihat membantu mereka mengawal perbelanjaan harian masing-masing.

Bagi peniaga pisang goreng, Norhayati Yahya, 45, bantuan tunai itu secara keseluruhannya dilihat akan membantu golongan peniaga kecil sepertinya.

Bagaimanapun katanya, timbul persoalan, sampai bilakah bantuan tunai tersebut akan dilaksanakan atau ia dilaksanakan secara sementara.

"Memang bagus bantuan tunai ni... tapi, sampai bila? Adakah untuk beberapa bulan, tahun?

"Kita nak tahu jugalah sama ada bantuan tunai tu dapat setiap bulan atau dua bulan sekali, atau macam mana? Sebab kenderaan saya ni guna minyak diesel.

"Katakan lah RM300 sebulan...kita nak tahu lebih lanjut, sebab berniaga kecil-kecil ni ada risikonya, boleh tutup tiba-tiba," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, kerajaan disarankan agar menyalurkan subsidi diesel melalui medium khas yang hanya boleh diakses masyarakat penjaja dan peniaga kecil, sebagai mekanisme memastikan bantuan tunai yang diberikan hanya dibelanjakan untuk bahan api tersebut.

Artikel Berkaitan:

Malah, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman turut optimis dengan pelaksanaan penyelarasan subsidi diesel yang diumumkan kerajaan.

Dalam pada itu, deorang lagi peniaga, Mohamad Safik Che Mat, 32, berkata, dia cukup tertarik dengan bantuan tunai itu yang dicadangkan dilaksanakan dalam bentuk kad yang disifatkannya akan lebih banyak membantu rakyat.

Dia yang berniaga ‘sate pagi’ di Pasar Peladang Skudai berkata, bagi golongan peniaga sepertinya, bantuan tunai itu juga bakal membantu perancangan khususnya dari perbelanjaan dan pengurusan perniagaannya.

"Saya memang setuju kalau bantuan tunai ni dalam bentuk kad sebab memudahkan orang ramai.

"Bagaimanapun, mungkin dalam kad berkenaan telah dikreditkan sejumlah wang, katalah RM1,500 hanya bagi tujuan pembelian diesel, jadi taklah berbelanja benda-benda lain yang tak sepatutnya.

"Lagi pun, mungkin ada peraturan juga, boleh isi semula kredit tanpa perlu menunggu bulan hadapan. Maksud saya, kalau kredit tamat, atau habis di tengah bulan, orang ramai boleh menerima lagi bantu tunai dalam kad tersebut," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga pisang goreng di Lima Kedai, Mohd Azahari Jamil, 46 berkata, pemberian bantuan tunai tersebut ada baiknya kerana dilihat lebih kepada membantu golongan peniaga kecil-kecilan sepertinya.

Bagaimanapun katanya, bantuan tunai itu juga mungkin boleh dikaji lagi daripada pelbagai aspek sebelum dilaksanakan kelak.

“Ada bagusnya kita dibantu oleh kerajaan menerusi bantuan tunai ni, sekurang-kurangnya kita dapat merancang perbelanjaan kita...antaranya bagi tujuan pembelian minyak diesel untuk ambil bekalan, beli bahan-bahan dan sebagainya.

“Apa pun bagi saya, mungkin kena kaji beberapa perkara lagi sebelum dilaksanakan nanti agar ia akan memberikan manfaat kepada golongan yang menerimanya,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!