Terminal khas haji, umrah kesinambungan Makkah Route

Syed Saleh (tengah) dalam sidang media di Ibu Pejabat Tabung Haji.
Syed Saleh (tengah) dalam sidang media di Ibu Pejabat Tabung Haji.
A
A
A

MAKKAH - Cadangan Kementerian Pengangkutan untuk mewujudkan satu terminal khas untuk jemaah haji dan umrah di Kuala Lumpur merupakan kesinambungan terhadap pelaksanaan Makkah Route.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, secara umumnya Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik sebarang usaha untuk menambah baik perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia, termasuk dalam hal yang berkaitan jemaah umrah.

Menurutnya, perkara ini sedang dibincangkan di peringkat kerajaan Malaysia dan Arab Saudi menerusi Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan dan agensi-agensi termasuk TH.

“Secara umum kita menyambut baik kerana ini adalah kesinambungan kepada apa yang telah dinikmati oleh jemaah haji Malaysia sejak dari 2017 lagi iaitu projek Makkah Route yang mana jemaah haji dapat melalui pemeriksaan imigresen Arab Saudi di Malaysia lagi.

“Setakat ini belum ada lagi mana-mana negara yang mempunyai hub seperti ini. Untuk haji hanya ada tujuh negara sahaja,” katanya dalam satu sidang media.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberi cadangan agar satu satu terminal khas untuk jemaah haji dan umrah di Kuala Lumpur diwujudkan.

Langkah itu dapat membantu penerbangan yang ke Jeddah atau tempat lain di Arab Saudi untuk mendapat pelepasan imigresen dibuat di Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Tanah Suci.

Malaysia merupakan negara pertama di dunia diberikan kepercayaan oleh Kerajaan Arab Saudi melaksanakan Makkah Route melalui program perintisnya pada 2017.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Syed Saleh memberitahu, seramai 56 jemaah haji Malaysia bersama dua orang Petugas Haji yang sepatutnya menaiki penerbangan KT43 telah selamat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Malaysia (KLIA) pada jam 5.35 petang (waktu Malaysia).

Penerbangan membawa 58 jemaah Malaysia itu dijangka mendarat di terminal komersial Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah pada jam 9.25 malam dan akan diterbangkan ke Madinah menggunakan pesawat khas dua jam kemudian.

Mereka dijangka tiba pada jam 12.35 pagi (waktu tempatan) pada 25 Mei.

Menurutnya, kelewatan penerbangan bagi 56 jemaah ini susulan daripada pesawat Saudi Airlines SV5091 yang dijadualkan berangkat pada 23 Mei mengalami masalah teknikal.

Sebuah pesawat gantian yang diterbangkan dengan kapasiti 298 tempat duduk telah membawa 297 bakal haji berlepas ke Madinah pada hari yang sama, manakala baki 56 orang lagi bersama dua petugas TH akan berlepas pada 24 Mei.

“Pesawat gantian ini hanya mempunyai tempat duduk sebanyak 298 sahaja berbanding 353 pesawat asal. TH kemudian telah buat keputusan untuk hantar 295 jemaah haji pada kapal gantian dan baki 58 iaitu 56 jemaah dan dua petugas menaiki pesawat seterusnya,” katanya.

Syed Saleh berkata, 56 jemaah haji ini akan ditempatkan di hotel penginapan yang asal dan akan berada di Madinah selama enam hari, namun aktiviti jemaah ini akan diuruskan secara berasingan.

Syed Saleh turut memberitahu setakat 23 Mei, seramai 12,686 jemaah haji telah tiba di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

“5,380 jemaah haji kini berada di Madinah manakala seramai 7,306 jemaah haji telah sampai ke Makkah menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 12,686.

“Penerbangan pertama yang akan mendarat di Jeddah adalah KT46 yang tiba pada 24 Mei jam 0840 pagi. Apabila tiba, jemaah haji akan dibawa terus masuk ke Makkah,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!