Anwar rai jasa prof Izutsu, penterjemah al-Quran ke bahasa Jepun

Anwar menyampaikan ucapannya di Universiti Keio, Tokyo hari ini bagi meraikan jasa dan peranan tokoh itu. Foto Facebook Anwar Ibrahim
Anwar menyampaikan ucapannya di Universiti Keio, Tokyo hari ini bagi meraikan jasa dan peranan tokoh itu. Foto Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Antara sumbangan pemikir serta tokoh filasuf (ahli falsafah) terkemuka Jepun Prof Toshihiko Izutsu yang luar biasa dan paling diingati ialah pencapaiannya menterjemah Al-Quran ke bahasa Jepun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Izutsu semasa hayatnya memberi impak besar kepada landskap akademik dan falsafah global kerana ilmunya, selain sumbangan beliau kepada dunia lapangan intelektual, teologi dan falsafah yang sangat luas dan rencam sehingga sukar untuk menentukan sumbangan terbesar beliau.

Menerusi hantaran di Facebooknya Perdana Menteri berkata, perkara itu disuarakan beliau dalam ucapannya di Universiti Keio, Tokyo hari ini bagi meraikan jasa dan peranan tokoh itu,

Anwar berkata beliau turut mengetengahkan keupayaan Izutsu dalam merapatkan jurang budaya dan bahasa serta memupuk pemahaman silang budaya yang lebih mendalam dan penghargaan terhadap pemikiran Islam dalam konteks kenegaraan dan masyarakat di Jepun.

"Ini pencapaian luar biasa dan bukti kemahiran serta garapan linguistiknya yang mendalam, keluasan ilmunya, dan ketekunan komitmennya,” kata Perdana Menteri kini berada di Jepun untuk lawatan kerja tiga hari.

Anwar berkata, tugas menterjemahkan al-Quran sangat mencabar kerana dimensi linguistik, teologi, falsafah, spiritual, serta mistik yang kompleks, dan bagi umat Islam, al-Quran tidak sekadar teks tetapi ia adalah wahyu Ilahi dengan lapisan makna yang mendalam.

Sehubungan itu beliau berkata, pendekatan Izutsu dalam terjemahan al-Quran bukan sahaja melibatkan lebih daripada sekadar menukar kata-kata Arab ke bahasa Jepun, tetapi juga memerlukan pemahaman yang mendalam tentang bahasa Arab, tradisi Islam serta bahasa semitik.

Perdana Menteri berkata, penterjemahan oleh Izutsu, juga menjadikan teks suci al-Quran boleh diakses oleh pembaca berbahasa Jepun, sekali gus menggalakkan pemahaman silang budaya.

Artikel Berkaitan:

"Usaha ini menunjukkan komitmennya untuk merapatkan jurang budaya dan linguistik serta menyumbang kepada kajian Islam dengan sangat ketara," katanya.

The Keio Times dalam laman webnya antara lain menggambarkan Izutsu, yang dilahirkan pada tahun 1914 sebagai ahli bahasa dan menguasai lebih daripada 30 bahasa, sebagai genius yang menghubungkan timur dan barat, dan paling dikenali sebagai penterjemah al-Quran daripada bahasa Arab ke bahasa Jepun.

Beliau menuntut di Fakulti Ekonomi Universiti Keio sebelum berpindah ke Jabatan Bahasa Inggeris di Fakulti Persuratan, dan menjadi penolong profesor di universiti yang sama selepas menamatkan pengajian, sebelum menjadi profesor pada tahun 1954.

Beliau bersara daripada Keio pada tahun 1969 dan menjadi profesor di Universiti McGill, Kanada. Beliau juga pernah betugas sebagai profesor di Institut Kajian Falsafah Diraja Iran sebelum kembali ke Jepun pada 1979 semasa Revolusi Iran.

Izutsu meninggal dunia pada tahun 1993, meninggalkan koleksi buku yang terdiri daripada kira-kira 10,000 jilid dalam bahasa Jepun, Cina, dan bahasa Barat, termasuk kira-kira 3,700 jilid dalam bahasa Arab di kediamannya di Kamakura, di selatan Tokyo. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!