Tindakan segera perangi rokok seludup - API

Perdagangan rokok seludup sahaja telah menyebabkan kerajaan kerugian kira-kira RM5 bilion setiap tahun. Gambar kecil: Fazli
Perdagangan rokok seludup sahaja telah menyebabkan kerajaan kerugian kira-kira RM5 bilion setiap tahun. Gambar kecil: Fazli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa mengambil tindakan segera dalam menangani masalah rokok seludup yang sistemik yang telah menyekat pertumbuhan ekonomi dan menyebabkan masalah sosio-ekonomi ketara selama lebih sedekad.

Gesaan itu dibuat oleh Advokasi Perusahaan dan Industri (API), kumpulan advokasi yang berdedikasi untuk melindungi pertumbuhan perniagaan dan industri, berikutan pendedahan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) dan Kajian Tembakau Dewasa Global (GATS) Malaysia 2023 yang dikeluarkan kerajaan baru-baru ini.

API menegaskan bahawa menurut NHMS, kelaziman merokok dewasa di Malaysia telah meningkat sejak tiga dekad yang lalu, dengan 24.8 peratus pada tahun 1996, 21.5 peratus pada tahun 2006, 23.1 peratus pada tahun 2011, 22.8 peratus pada tahun 2015 dan 21.3 peratus pada tahun 2019.

Walaupun bilangan perokok kekal hampir sama, GATS Malaysia telah menunjukkan bahawa jumlah purata pengguna Malaysia yang berbelanja untuk rokok telah menurun dengan ketara daripada RM13.20 pada tahun 2011 kepada RM10.80 pada tahun 2023.

Purata perbelanjaan rokok bulanan menurun daripada RM234 pada tahun 2011 kepada RM177.70 pada tahun 2023.

Pengarah Urusan API, Datuk Fazli Nordin berkata, walaupun pengurangan perbelanjaan rokok kelihatan amat baik di atas kertas, namun adalah penting untuk mengetahui bahawa realiti sebenarnya jauh daripada itu.

Penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi untuk membendung masalah penyeludupan rokok seludup. Rokok seludup diterima baik oleh rakyat Malaysia kerana ia jauh lebih murah dan boleh didapati secara meluas.
Penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi untuk membendung masalah penyeludupan rokok seludup. Rokok seludup diterima baik oleh rakyat Malaysia kerana ia jauh lebih murah dan boleh didapati secara meluas.

Beliau berkata, pendedahan daripada GATS dan NHMS jelas menunjukkan bahawa rokok seludup semakin berleluasa dan telah diterima baik.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat Malaysia bukan kurang merokok tetapi sebenarnya membeli rokok pada harga yang lebih murah. Rokok seludup diterima baik oleh rakyat Malaysia kerana ia jauh lebih murah dan boleh didapati secara meluas berbanding rokok yang dikilangkan secara sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Fazli, kelaziman rokok haram di Malaysia ialah 55.6 peratus pada tahun 2023.

“Ini bermakna 6 daripada 10 batang rokok yang dijual adalah produk seludup, dan kadar ini dianggap sangat tinggi berdasarkan piawaian global," katanya.

Pada kadar ini, katanya, perdagangan rokok seludup sahaja telah menyebabkan kerajaan kerugian kira-kira RM5 bilion setiap tahun dalam hasil eksais tidak dikutip.

"Pada masa yang sama, ekonomi bayangan yang cukup besar ini secara berterusan memudahkan rasuah di semua peringkat masyarakat dan membiayai aktiviti jenayah,” tambahnya.

Beliau berkata, walaupun kita melihat terdapat peningkatan dalam serbuan dan tangkapan yang dijalankan oleh pihak Kastam Diraja Malaysia dan pihak berkuasa lain, jelas penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi untuk membendung masalah ini.

"Kerajaan Madani mesti cukup berani untuk berfikir di luar kotak dan mengambil langkah yang lebih drastik atau cepat untuk mencapai apa yang belum dilakukan oleh kerajaan lain, iaitu menghapuskan penyakit rokok seludup untuk selamanya,” tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!