Serangan Ulu Tiram: Polis Perak perketat kawalan di semua IPD, balai

Mohd Yusri
Mohd Yusri
A
A
A

IPOH - Polis Perak telah mengambil beberapa inisiatif untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis di negeri itu susulan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, 17 Mei lalu.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, pihaknya akan meneliti pelbagai aspek termasuk keanggotaan dan fasiliti pada sebelah malam di 16 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan 107 balai polis.

"Menerusi mesyuarat yang diadakan bersama ketua jabatan serta ketua polis daerah, saya telah mengarahkan semua untuk melihat semula penugasan-penugasan di semua IPD dan balai di seluruh kontinjen Perak.

"Jabatan logistik juga diarahkan memeriksa pencahayaan di pintu masuk, keadaan pagar dan kekuatan petugas di sebelah malam jika perlu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.

Menurut Mohd Yusri, pemeriksaan ketat akan dijalankan terhadap individu yang hadir ke IPD dan balai polis.

"Petugas di pos pengawal perlu lebih berwaspada dengan mengadakan pemeriksaan ketat kepada individu yang hadir ke balai polis dan IPD melebihi jam 10 malam.

"Pemeriksaan lanjut akan dilakukan sekiranya ada yang membawa beg atau bungkusan bersama mereka," katanya.

Tambah beliau, kerjasama orang ramai amatlah penting dalam memastikan keselamatan ketenteraman awam dipelihara.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian pada jam 2.45 pagi, 17 Mei lalu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak.

Dalam insiden di Pulau Pinang pula, seorang lelaki ditahan ketika cuba merampas submesingan jenis HK MP5 daripada anggota polis yang bertugas di pintu pagar Balai Polis Dato Keramat, Ahad lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!