[VIDEO] Bekas Setpol Hamzah Zainuddin didakwa terima rasuah RM350,000

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 berhubung tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan, empat tahun lalu.

Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42, hadir dengan memakai kot berwarna biru gelap, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Bismillah, (saya) faham, mohon dibicarakan,” kata bekas setiausaha kepada bekas Menteri Dalam Negeri terbabit.

Mengikut dua pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima wang rasuah masing-masing RM100,000 dan RM250,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof.

Ia sebagai upah untuk membantu syarikat itu mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNET Untuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kementerian Dalam Negeri bernilai RM381,112,042.44.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun.

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, di Solaris Dutamas Jalan Solaris Dutamas, di sini pada 4 dan 16 Disember 2020.

Ia termasuk didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

Menurutnya, ia berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan terutama Wan Azhar sehingga kes selesai.

Sementara itu peguam, Md Yunos Shariff mewakili Sayed Amir Muzzakkir memohon anak guamnya diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin.

“Kami tidak keberatan untuk memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

“Dia tiada potensi untuk melarikan diri memandangkan hartanya juga disita SPRM malah telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan pada Januari lalu,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes 12 Julai depan.

Menerusi siaran media pada Rabu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, izin untuk mendakwa individu itu bersama seorang lagi pemilik syarikat, telah diperoleh lebih awal.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pemilik sebuah syarikat itu ialah seorang anak menteri besar sebuah negeri dan dia akan didakwa Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM600,000.

Lelaki itu telah direman SPRM pada 24 April lalu, bersama lima lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu berkenaan dan kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM pada hari sama.

Ia berhubung isu salah guna kuasa membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana di negeri itu sejak dua tahun lalu dan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas lapan jam disiasat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!