Ayam sejuk beku ada logo halal disimpan campur daging babi disita

Pemeriksaan dilakukan di sebuah stor yang menyimpan ayam berlogo halal diletakkan bersama daging babi dalam serbuan di Jalan Burung Keleto Inanam, Kota Kinabalu.
Pemeriksaan dilakukan di sebuah stor yang menyimpan ayam berlogo halal diletakkan bersama daging babi dalam serbuan di Jalan Burung Keleto Inanam, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 848 kotak ayam sejuk beku yang mempunyai logo halal disita selepas didapati disimpan bersama daging babi di dalam sebuah stor di Jalan Burung Keleto Inanam, di sini, pada Selasa.

Rampasan barang bernilai RM121,968 itu dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pekhidmatan Veterinar (JPV) Sabah sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah pada Rabu.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, pihaknya telah menerima kes serahan yang disyaki terlibat dengan pelanggaran takrifan halal daripada PGA Kota Kinabalu.

"Pemeriksaan bersepadu yang dijalankan oleh PGA dan JPV Sabah di sebuah stor tanpa nama dan telah menemui sebuah kontena sejuk beku yang mengandungi daging ayam beku yang mempunyai logo halal pada kotak disimpan bersekali dengan daging babi.

"Seterusnya PGA telah menahan kontena sejuk beku tersebut dan menyerahkan kepada KPDN Sabah untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, hasil pemeriksaan semula yang dijalankan pihaknya membawa kepada nilai keseluruhan rampasan termasuk kontena iaitu sebanyak RM151,968.

"Seorang lelaki tempatan pemilik premis yang ditemui di tempat kejadian turut diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan dan daging babi juga disita oleh pihak JPV Sabah untuk tindakan lanjut.

"Kes ini akan disiasat di bawah Perintah 3 (1) (g) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 iaitu menyimpan barang yang diperihalkan sebagai halal dengan barang yang tidak diperihalkan sebagai halal berdekatan di satu tempat simpanan yang sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!