'Terima kasih bantu Khayla'

Mohamad (kanan) membawa buah tangan kepada Khayla ketika menziarahi Khayla Adha bersama rombongan ZPP pada Rabu.
Mohamad (kanan) membawa buah tangan kepada Khayla ketika menziarahi Khayla Adha bersama rombongan ZPP pada Rabu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - [DIKEMAS KINI] Kegembiraan jelas terpancar di raut wajah kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun yang menghidap penyakit Osteogenesis Imperfecta (OI) atau penyakit tulang rapuh apabila banyak pihak yang tampil membantunya.

Malah ucapan terima kasih tidak lekang di bibir Khayla Adha Mirza Imran ketika menerima kunjungan Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid pada Rabu.

Menurut bapa kanak-kanak itu, Imran Mohd Yusoff, 45, anak bongsu daripada tiga beradik itu memerlukan RM126,000 setahun bagi menampung kos rawatannya.

Beliau berkata, Khayla perlu disuntik dos penggalak stemcell (stemcell booster) dua kali dalam tempoh sebulan yang mana ia berharga RM2,400 bagi setiap suntikan.

“Dua bulan sekali pula, dia memerlukan suntikan ‘blood stemcell’ yang menelan belanja RM11,400 bagi setiap suntikan yang mana prosedur ini hanya boleh dijalankan di Hospital Gleneagles Ampang.

"Tulang Khayla perlu dikuatkan terlebih dahulu menggunakan stemcell sebelum boleh memasukkan besi ke dalam tulangnya," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Pauh Jaya, di sini pada Rabu.

Imran yang berniaga donat bomboloni bersama isterinya, Khairol Niza Zaffarullah Khan, 44, berkata, dengan bantuan serta keprihatinan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang persendirian meringankan beban mereka sekeluarga.

Bagaimanapun katanya, orang ramai diingatkan agar tidak terpedaya sekiranya terjumpa tabung kutipan derma buat Khayla kerana pihak keluarga tidak pernah berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih atas keprihatinan semua pihak yang mengambil berat tentang Khayla dan pastinya kami mengharapkan dia boleh berjalan seperti kanak-kanak lain suatu hari nanti," katanya lagi.

Sementara itu, dalam lawatan ZPP turut menyerahkan sumbangan dan barangan keperluan asas bagi meringankan beban Imran sekeluarga.

Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), berkata ZPP memperuntukkan bantuan tanpa tunai bulanan sebanyak RM2,000 dan sumbangan ‘one off’ berjumlah RM30,000 buat Khayla.

Jelasnya, dengan bantuan tanpa tunai itu membolehkan ibu bapa Khayla mendapatkan pelbagai barangan keperluan di farmasi antaranya lampin dan susu.

"Bagi bantuan sekali bayar ia boleh diperbaharui mengikut kesesuaian.

“Permohonan sumbangan bantuan ZPP ini mula diproses selepas saya sendiri menziarahi keluarga Khayla kira-kira tiga minggu lepas,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis berasingan di Permatang Rawa di sini, Mohamad turut menyerahkan bantuan skim bencana alam kepada penduduk yang terjejas dengan kejadian ribut baru-baru ini.

Mohamad (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima skim bencana alam selepas rumah mereka terjejas dalam kejadian ribut baru-baru ini.
Mohamad (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima skim bencana alam selepas rumah mereka terjejas dalam kejadian ribut baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan seramai 21 orang penerima mendapat wang tunai permulaan sebanyak RM200 setiap seorang.

Beliau berkata, bantuan skim tersebut bermula dari RM600 hingga RM1500 akan diberikan mengikut kepada anggaran kerosakan rumah mangsa bencana alam yang berlaku.

"Baki daripada jumlah itu akan dimasukkan ke dalam akaun penerima masing- masing tidak lama lagi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!