Langkah lebih kukuh perlu atasi diskriminasi terhadap wanita - Suhakam

Suhakam menegaskan bahawa diskriminasi terhadap wanita sama ada melalui perundangan, dasar, sikap psikobudaya atau amalan, masih belum ditangani sepenuhnya di Malaysia. Ilustrasi oleh Sinar Daily
Suhakam menegaskan bahawa diskriminasi terhadap wanita sama ada melalui perundangan, dasar, sikap psikobudaya atau amalan, masih belum ditangani sepenuhnya di Malaysia. Ilustrasi oleh Sinar Daily
A
A
A

SHAH ALAM - Diskriminasi terhadap wanita kekal menjadi isu yang signifikan di Malaysia dan sehingga kini masih belum dapat ditangani atau diberi perhatian di pelbagai sektor.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, diskriminasi terhadap wanita sama ada melalui perundangan, dasar, sikap psikobudaya atau amalan masih belum ditangani sepenuhnya di Malaysia.

Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak dan kebebasan termasuk kesaksamaan jantina tanpa diskriminasi seperti yang digariskan di bawah Perkara 8(2).

“Bagaimanapun, Suhakam menyatakan bahawa definisi diskriminasi terhadap wanita seperti diperuntukkan di bawah Perkara 1 Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW).

“Sehingga kini, ia masih belum dapat dilihat dan dimanifestasikan sepenuhnya di Malaysia," katanya semasa Mesyuarat 2070, Sesi ke-88 CEDAW pada Isnin.

Pada masa sama, Noor Aziah turut menegaskan keperluan mendesak meningkatkan penglibatan wanita sebagai perwakilan di Dewan Rakyat.

Katanya, data terkini menunjukkan hanya ada 40 ahli Parlimen wanita dengan pecahan 30 orang di Dewan Rakyat dan 10 orang di Dewan Negara.

Susulan itu, beliau mencadangkan agar kuota wanita ditambah daripada 30 peratus kepada 50 peratus untuk meningkatkan perwakilan jantina dan menggalakkan kesaksamaan mengikut Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Dengan peningkatan perwakilan di Parlimen, dasar perundangan dan pembaharuan boleh ditangani daripada perspektif yang pelbagai dan mempromosikan dasar yang lebih sensitif ke arah gender,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noor Aziah turut menzahirkan kebimbangan terhadap tingkah laku diskriminasi oleh beberapa ahli Parlimen.

Menurutnya, sebarang kenyataan yang melibatkan maruah yang dibuat oleh mereka, jelas menunjukkan ia sebagai satu pencabulan.

Beliau berkata, kekebalan yang dimiliki oleh ahli Parlimen tidak memberi jaminan bahawa mereka dibenarkan untuk mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman, seksis atau apa-apa perkara yang menyinggung dalam Dewan.

“Sebagai tokoh awam yang memiliki jawatan dalam platform pentadbiran dan politik adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli Parlimen untuk menunjukkan tingkah laku baik dan boleh dicontohi,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Noor Aziah memberitahu bahawa mana-mana ahli Parlimen lelaki yang membuat kenyataan sedemikian harus bertanggungjawab di bawah Perintah 36-4 Dewan Rakyat atas tindakan diskriminasi dan seksis itu.

Ujar beliau, akauntabiliti itu akan menjadi contoh kepada rakyat Malaysia yang lain sekali gus membantu meningkatkan kesedaran tentang berleluasanya sikap diskriminasi dan seksis terhadap wanita.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!