Lapangan Terbang Seri Iskandar belum dapat 'restu'

Mohammad Nizar (tengah) menyampaikan replika cek kepada pemenang sempena Program Explorvokasi Keselamatan Jalan Raya di Dewan Seri Iskandar, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar pada Selasa.
Mohammad Nizar (tengah) menyampaikan replika cek kepada pemenang sempena Program Explorvokasi Keselamatan Jalan Raya di Dewan Seri Iskandar, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar pada Selasa.
A
A
A

SERI ISKANDAR - Kerajaan negeri Perak masih belum mendapat sebarang keputusan daripada kerajaan Persekutuan mengenai pembinaan lapangan terbang bertaraf antarabangsa di Seri Iskandar yang pernah dicadangkan sebelum ini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kajian lapangan untuk pembinaan lapangan terbang itu juga masih belum dimulakan disebabkan kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan belum diperoleh.

Menurutnya, sebuah syarikat kejuruteraan infrastruktur mega berpangkalan di United Kingdom (UK) iaitu Colebrand International Limited yang sepatutnya menjalankan kajian lapangan tersebut namun disebabkan situasi berkenaan ia masih belum dimulakan.

"Kajian lapangan itu belum dimulakan sebab kita belum mendapat kebenaran daripada kerajaan persekutuan dan Kementerian Pengangkutan lagi. Jadi mana-mana kerja infrastruktur yang besar di negeri di perlu mendapat pelepasan daripada kementerian berkaitan dulu.

"Jadi hajat kita nak mendirikan lapangan terbang antarabangsa di daerah Perak Tengah masih lagi tergantung. Belum ada apa-apa keputusan atau perkembangan. Syarikat UK itu memang ada perbincangan untuk dapatkan laluan bagi memulakan kajian lapangan tetapi, buat masa ini belum lagi (diberikan kebenaran)," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Explorvokasi Keselamatan Jalan Raya di Dewan Seri Iskandar, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar di sini pada Selasa.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri sudah pun menyediakan tapak dan keperluan lain untuk merealisasikan pembinaan lapangan terbang tersebut namun pembangunannya terpaksa ditangguhkan sehingga kebenaran tersebut diperoleh.

Menurutnya, keadaan itu dipercayai disebabkan terdapat permohonan lebih awal daripada negeri-negeri melibatkan pembangunan lapangan terbang yang perlu diberikan keutamaan.

Artikel Berkaitan:

Pada Julai 2023, media melaporkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Seri Iskandar dicadangkan di tapak baharu seluas kira-kira 1,618.7 hektar berdekatan Felcra Nasaruddin, Bota.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Oktober tahun sama memaklumkan cadangan membina lapangan terbang baharu di Seri Iskandar, di Perak Tengah masih jauh untuk direalisasikan.

Beliau berkata, ini kerana pembinaan satu lapangan terbang baru bukan mudah kerana memerlukan proses yang rumit dan panjang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!