Guru besar, kontraktor didakwa tuntut bayaran guna dokumen palsu

Abd Rasad (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas lapan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan bersubahat dengan kontraktor bagi tuntutan bayaran pembekalan alatan keperluan sekolah berjumlah RM9,667, empat tahun lepas. Foto Bernama
Abd Rasad (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas lapan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan bersubahat dengan kontraktor bagi tuntutan bayaran pembekalan alatan keperluan sekolah berjumlah RM9,667, empat tahun lepas. Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang guru besar sebuah sekolah rendah di Pitas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas lapan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan bersubahat dengan kontraktor bagi tuntutan bayaran pembekalan alatan keperluan sekolah berjumlah RM9,667, empat tahun lepas.

Tertuduh, Abd Rasad Sadikir @ Sadikil, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu nota minta bagi mendapatkan pembayaran bekalan peralatan bimbingan kaunseling, peralatan kertas ujian sekolah, peralatan pusat sumber sekolah dan peralatan pejabat sekolah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat am di Sekolah Kebangsaan Manggis/Mangkubou, Pitas antara Oktober hingga Disember 2018.

Rasnah (kiri) diiringi pegawai SPRM selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Selasa. Foto Bernama
Rasnah (kiri) diiringi pegawai SPRM selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Selasa. Foto Bernama

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi empat pertuduhan bersubahat, Abd Rasad didakwa bersubahat dengan membantu kontraktor Rasnah Majuan, 48, mengemukakan dokumen palsu iaitu pesanan sekolah dan invois Syarikat Pemborong Bina Dana berjumlah RM9,667 untuk menipu bagi tujuan mendapatkan pembayaran.

Kesalahan mengikut Seksyen 107(c) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 471 kanun sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun yang sama itu dilakukan di lokasi sama, sekitar November hingga Disember 2018.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rasnah turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan mengikut seksyen sama kerana bersubahat mengemukakan dokumen palsu berkenaan bersama Abd Rasad.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rekhraj Singh manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!