Jualan Rahmah Madani: 400 ayam mentah 'licin' dalam masa 45 minit

Orang ramai membeli barangan keperluan pada Jualan Rahmah Madani Bergerak DUN Nenggiri di Kampung Jerek pada Selasa. Foto Bernama
Orang ramai membeli barangan keperluan pada Jualan Rahmah Madani Bergerak DUN Nenggiri di Kampung Jerek pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Sebanyak 400 ekor ayam segar menjadi antara tarikan pengunjung sempena program Jualan Rahmah Madani Bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kampung Jerek di sini pada Selasa dan habis terjual dalam masa kira-kira 45 minit.

Pengunjung dari Kampung Pasir Tumboh Ilah Idris, 43, berkata, perjalanan sejauh lebih 10 kilometer bersama seorang rakan bagi mendapatkan bekalan makanan kering dan basah pada harga lebih murah dirasakan sungguh berbaloi.

"Saya pelanggan terawal tiba di jualan terbabit dan dapat membeli dua ekor ayam mentah dijual pada harga RM7.90 sekilogram berbanding harga biasa RM9.50 sekilogram.

"Selain itu saya juga dapat beli beras kampit 10 kilogram (kg) pada harga RM35 berbanding harga biasa RM39,” katanya kepada pemberita di Jualan Rahmah Madani Bergerak DUN Nenggiri di Kampung Jerek.

Sebanyak 700 kampit beras tempatan turut dijual dan menjadi antara barangan wajib dibeli setiap pengunjung. Foto Bernama
Sebanyak 700 kampit beras tempatan turut dijual dan menjadi antara barangan wajib dibeli setiap pengunjung. Foto Bernama

Sementara itu, pemilik SMS One Solutions, Sabariah Mohamed Sayuti, 43, berkata, sambutan yang diterima masyarakat setempat amat menggalakkan dan ditunggu penduduk termasuk yang tinggal di kawasan pedalaman sejauh lebih 30 kilometer itu.

Sabariah berkata, selain ayam mentah, sebanyak 700 kampit beras tempatan yang terdiri 300 beras kampit lima kilogram (kg), 200 beras 10 kg dan 200 sembilan kg turut dijual dan menjadi antara barangan wajib dibeli setiap pengunjung.

"Kami telah menghebahkan jualan ini bermula minggu lepas dan pengunjung mula menyerbu khemah jualan seawal 9 pagi untuk mendapatkan ayam pada harga lebih murah berbanding biasa,” katanya sambil menambah bekalan ayan mentah habis terjual pada jualan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!