Kedai emas disamun dalam masa dua minit

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

SEPANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan berlaku kejadian samun berkumpulan menggunakan senjata api di sebuah kedai emas dalam pasar raya di Kota Warisan, dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam kejadian 8.14 malam itu, empat lelaki tidak diketahui bangsa dan warganegara menaiki kereta jenis Proton Waja berwarna perak telah memakir kenderaan di bahagian belakang pasar raya, sebelum masuk melalui sebuah kedai makanan segera di bahagian tepi bangunan pasar raya.

Menurutnya, seramai tiga suspek lelaki telah masuk ke dalam pasar raya, manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta.

Kata beliau, suspek menyerbu masuk ke dalam kedai emas sambil mengacukan senjata dipercayai pistol, sebelum mengeluarkan sendiri emas yang terdapat dalam kabinet pameran.

"Kesemua suspek memakai topi keledar, bersarung tangan, berjaket dan berseluar warna gelap telah masuk ke dalam kedai emas jam 8.14 malam dan keluar semula jam 8.16 malam.

"Suspek keluar melalui laluan lain di pintu belakang dan terus menaiki kereta yang mana seorang lagi suspek telah siap sedia menunggu di dalam kereta," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Wan Kamarul Azran berkata, tiada sebarang tembakan dilepaskan oleh suspek dalam kejadian rompakan tersebut.

Menurut beliau, barang yang disamun melibatkan rantai leher serta rantai tangan pelbagai saiz dan berat.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak polis dan satu kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang atau balai polis berdekatan, selain menghubungi terus pegawai penyiasat, ASP Boby Tamat di talian 013-5557858," ujarnya.