Garis Panduan Penapisan Filem terima reaksi berbeza

Garis Panduan Penapisan Filem oleh baharu Lembaga Penapisan Filem (LPF) disambut baik oleh pengkarya seni. Foto hiasan 123RF (Gambar kecil: Yusof Haslam, Jurey)
Garis Panduan Penapisan Filem oleh baharu Lembaga Penapisan Filem (LPF) disambut baik oleh pengkarya seni. Foto hiasan 123RF (Gambar kecil: Yusof Haslam, Jurey)
A
A
A

PENERBIT dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam menyambut baik Garis Panduan Penapisan Filem oleh baharu Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Ujarnya, garis panduan itu bersesuaian dan bertepatan dengan Rukun Negara dan sepatutnya semua pengkarya seni patut menghormati dan bersetuju.

"Kalau ikutkan sebelum ini pun sudah digariskan bahawa pembikin filem atau drama harus memastikan agama Persekutuan, peranan institusi raja dan bahasa tidak dipertikai dalam kandungan filem.

"Jadi apabila diletakkan garis panduan baharu melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan serta moral dan sosiobudaya, ia masih bertepatan dengan Rukun Negara.

"Apa yang penting kita tidak melakukan provokasi dalam seni dan setiap orang perlu menghormati apa yang ditetapkan oleh sesebuah negara itu," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Yusof, 70, dalam masa sama, sebagai penerbit, beliau berharap sistem penilaian LPF tidak terlalu ketat bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan dalam sesebuah karya itu dapat difahami oleh penonton.

"Pegawai penilai untuk sesebuah filem itu berbeza dan kadang-kala filem yang ada sedikit aksi pun tidak lepas untuk tontonan umum atau dapat klasifikasi yang tidak sepatutnya.

"Jadi saya harap pertimbangan untuk sesebuah filem itu haruslah kena pada tempatnya supaya mesej yang ingin disampaikan jelas kepada penonton," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) tidak melihat Garis Panduan Penapisan Filem memberi masalah besar kepada penerbit drama berbanding filem.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, kebiasaannya penerbit drama akan mengikut kehendak atau garis panduan yang ditetapkan sesebuah stesen televisyen sebelum menjalani penggambaran dan kemudian membawa drama tersebut kepada LPF untuk melalui proses penilaian serta tapisan.

Berbeza dengan penghasilan filem, di mana pihak produksi menghasilkan sesebuah karya itu dahulu dan apabila siap untuk ditayangkan, penerbit harus melalui proses tapisan LPF; di situ baharulah diketahui apa yang lepas dan tidak untuk ditayangkan.

“Aspek ini harus diteliti kerana sebagai pembuat filem, kalau boleh kita tidak mahu karya kita dipotong. Kita juga tidak mahu filem sudah siar, kemudian ditarik balik atau diharamkan.

“Jika boleh, hal ini perlu dielakkan dari peringkat awal dengan merujuk kepada LPF melalui garis panduan yang tidak samar-samar.

“Ada sesetengah bahagian yang dipotong boleh dirayu untuk tayangan, tapi ia ambil masa begitu lama. Bagi penggiat seni, setiap hari adalah duit," ujarnya.

Malah Jurey juga melihat garis panduan baharu ini agak samar-samar untuk dijadikan rujukan buat penggiat industri tempatan.

"Garis Panduan Baru itu terlalu halus untuk diterjemahkan oleh pegawai LPF dalam membuat tapisan sekiranya golongan ini bukanlah terdiri daripada wakil penggiat industri.

“Dari segi kreativiti contohnya, simbol yang divisualkan mempunyai tafsiran tertentu dan ini hanya orang filem saja boleh faham bahasa filem,” jelasnya.

Justeru, Jurey mencadangkan agar LPF melantik wakil industri sebagai antara pegawai panel mereka bagi menyeimbangkan keputusan tapisan yang akan dibuat.

Dalam masa sama beliau pada masa sama juga mencadangkan pada peringkat awal selepas penggubalan Garis Panduan Baru, kerajaan perlu memastikan keterlibatan dengan penggiat industri.

“Kami cadangkan wakil LPF untuk duduk bersama penggiat industri. Sebab kita perlu ada orang industri sendiri yang boleh melihat sub teks atau baca simbol tersurat mahupun tersirat dalam sesebuah filem.

“Ini mungkin boleh bantu tapis filem yang akan disiarkan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!