Pahang lulus garis panduan perancangan petak pengecasan EV

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang telah meluluskan Garis Panduan Perancangan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (GPPEVCB) bagi negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, garis panduan itu diluluskan pada Mesyuarat Jawatakuasa Perancang Negeri pada Khamis.

Wan Rosdy
Wan Rosdy

Menurutnya, GPPEVCB disediakan sebagai panduan seragam kepada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) pemilik bangunan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemaju, orang perseorangan dan pihak berkepentingan bagi pemajuan petak pengecasan elektrik yang selamat.

"Laporan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 telah menetapkan sasaran pembinaan 10,000 stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) awam menjelang tahun 2025 di seluruh negara.

"Ia seiring dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara 2023 yang menyasarkan penggunaan EV sebanyak 38 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus pada 2050," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Wan Rosdy berkata, sehingga Disember 2023, sebanyak 55 stesen pengecasan telah beroperasi di Pahang iaitu di Kuantan, Bentong dan Cameron Highlands.

"Stesen-stesen EV ini terletak di dalam pusat membeli-belah, tempat letak kereta, hotel serta resort untuk kegunaan awam.

Artikel Berkaitan:

"Melalui pemakaian garis panduan ini, PBT boleh merujuk prosedur bagi membina stesen EV di semua daerah di Pahang," ujarnya.

Tambah beliau, ia akan menggalakkan sektor industri dan infrastruktur stesen pengecasan kenderaan elektrik sekali gus membantu untuk mencapai sasaran 350 stesen pengecas EV di negeri ini menjelang tahun 2025.

"Pertambahan stesen EV akan membantu menarik kemasukan pelancong dan pemilik kenderaan elektrik ke Pahang," ujarnya

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28