UMNO Selangor kembalikan 75 jawatan MPKK kepada kerajaan negeri

Johan
Johan
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Selangor mengesahkan semua 75 jawatan ketua kampung atau Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri itu yang ditawarkan kepada parti itu akan dikembalikan kepada kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Johan Abd Aziz berkata, seperti yang dimaklumkan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din, UMNO sebaliknya akan memenuhi lantikan jawatan Pengerusi Komuniti Desa Madani yang akan diwujudkan.

Beliau juga difahamkan lantikan jawatan Pengerusi Komuniti Desa di setiap kampung di seluruh negeri ini adalah di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang diterajui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya juga boleh mengesahkan nama-nama (calon-calon Pengerusi Komuniti Desa Madani di peringkat kampung-kampung) telah dihantar oleh UMNO Selangor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Terdahulu, Megat Zulkarnain dilaporkan berkata, beliau sudah meminta semua bahagian untuk menamakan calon-calon Pengerusi Komuniti Desa Madani di peringkat kampung-kampung.

“Saya sudah terima dan diangkat kepada kementerian, kelulusannya pun kita sudah dapat, tinggal lagi selepas raya saya akan adakan pertemuan dengan kesemua pengerusi dan juga setiausaha yang berjumlah 746 orang untuk saya serahkan watikah mereka disaksikan oleh semua ketua-ketua bahagian yang tadi juga saya sudah bentang dalam mesyuarat perhubungan (Sabtu lalu),” katanya yang dipetik sebuah portal pada Jumaat.

Pada Januari lalu, media yang memetik sumber dalaman kerajaan negeri melaporkan, isu kelewatan pelantikan 272 ahli majlis melibatkan 12 PBT bagi sesi 2024-2025 lewat ekoran keengganan UMNO menerima peruntukan 20 kerusi yang ditawarkan.

Megat Zulkarnain kemudian mengumumkan parti itu akan menyerahkan semula semua 20 jawatan ahli majlis tersebut dan meminta 373 jawatan pengerusi JPKK diberi kepada UMNO.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, hal itu kerana UMNO menghormati penguasaan Pakatan Harapan (PH) di kawasan bandar.

Sebelum itu, dilaporkan formula agihan 373 jawatan ketua kampung itu adalah berdasarkan jumlah kerusi dimenangi setiap parti gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) di Selangor.

Daripada 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, PH mempunyai 32 kerusi, Perikatan Nasional (PN) 22 dan baki dua lagi dimiliki BN.

UMNO diperuntukkan 75 jawatan kerana dua kerusi yang dimenanginya iaitu DUN Sungai Air Tawar dan Dusun Tua.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28