Siasatan kes pecah amanah KRM di peringkat akhir

Muhammad Najib. Foto Bernama
Muhammad Najib. Foto Bernama
A
A
A

SIASATAN kes pecah amanah dalam pengendalian akaun bank Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) kini pada peringkat akhir, kata Pegawai Perundangan dan Peraturan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Muhammad Najib Hamzah.

Muhammad Najib berkata, perkembangan itu dimaklumkan oleh pihak polis yang menyiasat kes berkenaan.

"Kita sering berhubung dengan pegawai penyiasat dan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, setakat ini status masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) KRM di Hotel Olimpik di sini pada Ahad.

Pada Disember 2022, KRM membuat laporan polis berhubung kes pecah amanah disyaki dilakukan seorang daripada kakitangannya, dengan memalsukan tandatangan Presiden dan Bendahari Kehormat KRM bagi memasukkan nama beliau sebagai seorang daripada penandatangan cek.

Sementara itu, Presiden KRM, Amir Amri Mohamad berkata, EGM yang diadakan hari ini adalah bagi membentangkan laporan audit tahun 2021-2022 badan induk berkenaan dan 12 daripada 15 ahli gabungan KRM mengundi untuk menerima laporan itu dengan bersyarat.

Beliau berkata, laporan audit bagi tahun 2021-2022 itu tidak dibentangkan tahun lepas kerana ia masih disiasat polis berhubung kes pecah amanah yang berlaku pada 2022.

"Laporan kewangan bagi tahun 2023 pula bakal dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KRM yang bakal diadakan pada masa terdekat,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!