Tukang masak didenda RM10,000 alih wang RM126,000 ke akaun bank

Seorang tukang masak didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen KL kerana mengalihkan wang tunai milik seorang wanita ke dalam akaun banknya, tahun lalu.
Seorang tukang masak didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen KL kerana mengalihkan wang tunai milik seorang wanita ke dalam akaun banknya, tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang tukang masak didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin kerana mengalihkan wang tunai berjumlah RM126,000 milik seorang wanita ke dalam akaun banknya, tahun lalu.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu selepas Ng Kah Lun, 20, mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan memerintahkan tertuduh dihukum penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Kah Lun didakwa menolong menyembunyikan atau mengalihkan wang tunai RM126,000 milik seorang wanita berusia 39 tahun yang dimasukkan ke dalam akaun bank HSBC milik tertuduh di Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Stesen KL Sentral di sini, antara 21 dan 22 Mac 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, wanita terbabit yang juga pengadu membuat laporan polis kerana ditipu individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai Touch N Go pada 12 Mac 2023.

Wanita itu telah memasukkan wang berjumlah RM258,000 ke dalam beberapa akaun termasuk RM126,000 ke dalam akaun HSBC milik tertuduh pada 21 dan 22 Mac tahun lepas.

Hasil siasatan mendapati Kah Lun mengaku akaun tersebut untuk kegunaan harian dan kad ATM telah hilang, namun tidak memaklumkannya kepada pihak bank serta tidak membuat laporan polis.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak memohon hukuman setimpal kerana ia melibatkan jumlah wang yang besar selain memberi pengajaran kepada tertuduh manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dia dikenakan hukuman denda sahaja. - Bernama

Artikel Berkaitan: